Dan Mengapa DAP Selaku Anak Butir PAP Tak Ikut PAP Dalam Soal Kawalan Jualan Liquor?
Mengejutkan bila Pengerusi DAP merangkap MP Cheras, Tan Kok Wai, mendakwa, pada 17 November 2020, keputusan DBKL tidak membenarkan jualan liquor yang memabukkan di Kedai Runcit/Serbaneka/Ubat Cina berkuatkuasa 1 Oktober 2021 kecuali bagi tujuan ubatan tradisional sama ada campuran/‘pure’ sebagai pencabulan teruk ke atas cara hidup orang bukan Islam (“severely violating the non-Muslim’s way of life”).
Lebih mengejutkan bila pemimpin AMANAH merangkap MP Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, mendakwa, pada 22 November 2020, keputusan DBKL ini adalah unconstitutional kerana ia bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama orang bukan Islam.
Dakwa Mohamed Hanipa Maidin, keputusan DBKL ini adalah satu pengharaman menyeluruh (“a total prohibition”) dan bukannya satu bentuk pengawalan (“a form of regulating”) ke atas minuman keras yang akan menyebabkan hak orang bukan Islam untuk membeli atau menjual liquor yang memabukkan akan hilang dengan serta-merta dan sepenuhnya (“outrightly and completely vanish”).
Begitupun, bila dilihat kepada kenyataan media DBKL bertajuk “GARIS PANDUAN DAN SYARAT-SYARAT PERMOHONAN LESEN MINUMAN KERAS (LIQUOR YANG MEMABUKKAN) WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR”, agak jelas bahawa keputusan DBKL ini adalah satu bentuk pengawalan sahaja dan bukannya satu pengharaman menyeluruh ke atas minuman keras.
Jelas di dalam Poin 2 kenyataan media DBKL ini dinyatakan bahawa Liquor Yang Memabukkan masih dibenarkan untuk dijual di premis-premis berikut:
2.A) Borong (Wholesaler): Gudang/Stor/Rumah Kedai/Kompleks Perdagangan.
2.B) Rumah Awam Kelas 1 (Public House–Pub/Bar/Lounge/Restoran): Rumah Kedai/Hotel/Kompleks Perdagangan.
2.C) Runcit: Pasaraya/Hypermarket/Kompleks Perdagangan.
Hanyasanya, premis-premis perniagaan menjual liquor yang memabukkan mestilah:
3.A) Tidak boleh berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah dan hospital.
4. Beroperasi mengikut had masa yang ditetapkan.
Oleh itu jelaslah bahawa keputusan DBKL ini bukanlah merupakan pencabulan teruk ke atas cara hidup orang bukan Islam kerana hak orang bukan Islam untuk membeli atau menjual liquor akan tetap terpelihara.
Seterusnya keputusan DBKL ini juga bukanlah unconstitutional kerana ia jelas tidak bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama orang bukan Islam.
Malah, bercanggah dengan dakwaan Mohamed Hanipa Maidin, dasar DBKL ini sebenarnya tidaklah berbeza dengan dasar Kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertajuk “PENGELUARAN LESEN KEDAI MENJUAL MINUMAN KERAS DAN MEMINUM ARAK DI TEMPAT AWAM DI NEGERI KELANTAN”.
Lucu juga bila kebebasan beragama digunakan untuk menentang peraturan mengawal minuman keras di Malaysia sedangkan di Singapura bila Liquor Control (Supply And Consumption) Act dilulus dan dikuatkuasakan pada tahun 2015 tentangan begini tidak pula kedengaran.
Lebih lucu lagi bila mengenangkan DAP adalah anak butir PAP, oleh itu menjadi persoalan mengapa DAP boleh menjadi pengikut tegar PAP dalam soal seperti Malaysian Malaysia tetapi tidak boleh mencontohi PAP dalam soal seperti kawalan jualan liquor yang memabukkan ini?