Tarikh 3 Mac setiap tahun pastinya menjadi hari yang sering diingati oleh umat Islam.
Pada hari ini bersamaan 3 Mac 2021 genaplah 97 tahun ketiadaan payungan khalifah kepada umat Islam seluruh dunia.
Sistem Khalifah dilenyapkan oleh orang Islam sendiri.
Khilafah Uthmaniyah yang lahir dari leluhur Osman El-Gazi (1258-1324) yang membina kerajaan kecil di Anatolia mula diiktiraf sebagai khilafah seterusnya menggantikan khilafah dari Bani Abbasiyah selepas kekhalifahan dipindahkan selepas kerajaan Uthmaniyah mengalahkan kesultanan Memluk di Mesir pada tahun 1517.
Bermula tarikh ini, khilafah Uthmaniyah mengorak langkah dan strategi ampuh mula meluaskan kuasa dan pengaruh kepada kerajaan-kerajaan sekeliling.
Kemuncak peradaban bagi khilafah Uthmaniyah boleh dikatakan pada zaman Sultan Mehmet II yang mahsyur sekali setelah baginda membuka Konstantinopel seterusnya menjadi individu yang membenarkan hadith Rasulullah S.A.W.:
“Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.”
(Hadis Musnad Ahmad)
Namun, sepertimana dibicarakan oleh tokoh sejarah dan peradaban umat Islam, yakni Ibnu Khaldun, setiap peradaban pasti mengalami kitarannya.
Kesultanan Uthmaniyah yang berkuasa selama 600 tahun juga tidak terkecuali.
Ia mula menghadapi zaman kemerosotan selepas kegagalan Uthmaniyah menakluk jantung Eropah yakni Vienna mangkat dan susulan peristiwa ini, satu demi satu cabaran mengetuk pintu Uthmaniyah sehinggalah pemansuhannya pada 1924.
Tidak berguna andai bernostalgia semata-mata tanpa kita sebagai orang Islam cuba untuk mengambil pengajaran sebagai bekalan untuk kita bangkit menyusun semula kekuatan umat.
Antara punca-punca dapat dikenalpasti sebagai faktor mula merosotnya payung umat ini adalah:
1) Faktor Dalaman
Kerajaan Turki Uthmaniyah mula ketinggalan dalam banyak sudut seperti ekonomi, sosial dan politik contohnya dari sudut kemajuan teknologi berbanding negara lain.
Pihak Uthmaniyyah cuba melakukan pembaharuan terhadap sistem pendidikan dengan memperkenalkan institusi kemahiran seperti Universiti Teknikal Istanbul dan lain-lain.
Namun begitu, mereka tetap tidak dapat untuk menandingi kemajuan teknologi yang telah meletus di Barat.
Proses Modenisasi, bagi menghadapi ancaman dan kebangkitan negara-negara pesaing seperti negara Eropah, khilafah Turki Uthmaniyah telah melancarkan gerakan Tanzimat yakni proses modenisasi sistem khilafah Turki Uthmanniyah.Ia bermula dengan satu polisi rasmi yang dikenali sebagai The Imperial Rescript of the Rose Chamber of 1839.
Ia merupakan permulaan kepada reformasi di bawah proses tanzimat ketika pemerintahan Sultan Abdulmecid I dari tahun 1839-1861.
Ia juga penanda penting perubahan sistem pentadbiran kepada sistem yang lebih sekular.
Kebangkitan wilayah-wilayah naungan Turki yang juga merupakan wilayah orang Islam.
Kebangkitan nasionalisme berteraskan bangsa telah menyebabkan Kerajaan Uthmaniyyah tidak mampu untuk mengendurkan ketegangan.
Satu demi satu wilayahnya menuntut untuk bebas dan keluar dari pemerintahan Uthmaniyyah.
Ini termasuk dalam kes negara SaudiArabia di mana pemimpinnya pada waktu tersebut Sharif Husin ditawarkan dengan pemerintahan sebagai ganti kepada pemberontakan untuk bebas dari Uthmaniyyah.
Perjanjian Sharif Husin dengan Mc Mohan di Mesir tidak dipandang sebelah mata oleh pihak British telah mempersendakan intelek masyarakat Arab.
Golongan Arab telah dipermainkan oleh musuh yang suka memberi janji palsu
2) Faktor Luaran
Antara permulaan kepada kemerosotan Uthmaniyah ialah kekalahan Turki Uthmaniyah untuk menguasai Vienna (1683) dan juga penglibatan mereka di dalam peperangan yang menelan belanja yang besar.
Mereka turut mengalami kekalahan dalam siri-siri peperangan di Eropah.
Antara peperangan yang mereka lalui ialah peperangan menentang Poland-Lithuania, Rusia dan Autria-Hungary.
Peperangan kerajaan Uthmaniyyah dengan Rusia berlangsung selama 3 abad, dari kurun ke 17, 18 hingga kurun ke 19.
Ia merupakan konflik yang sangat panjang dalam sejarah peperangan mereka.
Ia pastinya menelan belanja yang besar untuk menampung pasukan barisan hadapan.
Kemenangan yang didambakan dibalas dengan kekalahan yang amat memeritkan pemerintahan Uthmaniyah lantaran kos persenjataan yang amat tinggi.
Dalam era ini, empayar Uthmaniyyah terpaksa berhadapan dengan cabaran hebat untuk berdepan dan menghadapi tentangan, serangan dan penjajahan dari kuasa luar, terutamanya dari kalangan Kristian.
Serangan-serangan ini datang dalam bentuk kebangkitan negara di Eropah yang mula menentang hegemoni Uthmaniyyah.
Semasa era ini pihak Uthmaniyyah banyak terlibat dalam pakatan untuk pertahanan negara dengan kuasa-kuasa sebelah Eropah seperti Perancis, Belanda, Britain dan juga Rusia.
Masih banyak faktor lain yang menjadi punca kepada kejatuhan Khilafah Islam Turki Uthmaniyah, namun ini antara yang boleh kita perhatikan.
Banyak pengajaran yang boleh kita cermati antaranya soal pengurusan negara, tindakan Uthmaniyah menyertai perang berpanjangan dan siri konflik bersenjata dengan wilayahnya telah memaksa Khilafah menanggung beban ekonomi yang amat besar, pelaksanan sistem pendidikan sekular serta ketinggalan dalam bidang teknologi telah mendorong salah laku dan kemerosotan dalam nilai-nilai agama dan kehidupan.
Natijah daripada merosotnya ekonomi Khilafah Turki, membawa kepada masalah berantai lain seperti masalah sosial dan konflik politik.
Maka wajib bagi orang Islam dan para pemimpin Islam supaya mempunyai sistem pengurusan negara yang cekap serta mengutamakan penguasaan ilmu dunia dan akhirat.
Kita saksikan bagaimana bermulanya pindaan kepada perlembagaan Kesultanan Uthmaniyah membawa kepada elemen memisahkan nilai agama dalam urusan kehidupan seharian umat.
Yang paling penting perlu kita cermati adalah soal pendidikan.
Pendidikan kepada orang Islam hendaklah sesuai dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi namun dalam masa sama tidak boleh mengabaikan atau meletakkan taraf pengisian agama mahupun yang asas seperti ilmu asas fardu ain, bacaan Al Quran dan pembelajaran akhlak.
Meskipun Tanzimat secara asasnya bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran Uthmaniyah, namun dalam aspek pendidikan tampaknya hal yang sebaliknya berlaku apabila peranan ulama dalam sistem pendidikan Turki dipisahkan.
Dek pengabaian inilah resapan anasir luar yang merosakkan pemikiran dan norma hidup masyarakat Islam mula menular tanpa sedar seperti berlaku di Turki apabila suburnya amalan rasuah dan lahirnya golongan sekularis Young Turk.
Pentingnya juga kesatuan dalam kalangan umat Islam dalam mempertahankan agama dan kesucian Islam.
Khalifah Uthmaniyah serta khalifah terdahulu semestinya ada kekurangan namun peranan mereka dalam menjadi penyatu dan pemimpin umat Islam telah berjaya membawa kepada zaman kegemilangan umat Islam.
Tindakan wilayah naungan Uthmaniyah yang menentang khilafah kerana terpengaruh dengan ideologi Nasionalisme adalah sebuah peristiwa yang tidak wajar berulang.
Kerana kesatuan atas dasar satu aqidah ini lah, kita sebagai umat Islam mampu mendepani cabaran dari musuh Islam serta hak kita tidak ditindas.
Meskipun mempunyai dengan perbezaan pendapat, cara kerja dan warna kulit, kita perlu sedar, sesungguhnya umat Islam itu adalah bersaudara.
Sesungguhnya kunci kepada kebangkitan semula payung umat Islam adalah perpaduan orang Islam terlebih dahulu, sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W, baginda menegakkan negara Madinah, dengan menyelesaikan kesatuan sesama umat Islam sepertimana bersatunya Aus dan Khazraj.
Apakah umat Islam diseluruh dunia dan Malaysia memahami akan hakikat ini?
Dalam konteks negara Malaysia serta mana-mana negara Islam lain, sewajarnya nilai kesatuan dan persaudaraan Islam menjadi objektif utama orang Islam buat masa sekarang.
Sebagai kesimpulan, hakikatnya kejatuhan khilafah Uthmaniyah bukanlah kesalahan Mustafa Kamal Atartuk seorang, tetapi kerana lemahnya umat Islam dalam pelbagai aspek, oleh itu perlunya umat Islam muhasabah kembali tindakan dan pemahaman yang kita pegang selama ini.
Umat memerlukan khilafah yang menyambung rantai perjuangan Nabi Muhammad S.A.W, tidak cukup kita menjadi orang Islam, namun perlunya juga kita mengamalkan Islam sebagai Ad Deen yakni satu cara hidup yang lengkap.
Semoga Allah kurniakan kekuatan buat kita semua.
Uthman Che Aziz