Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat mengecam tindakan Kerajaan Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas 12 ahli kumpulan Ikhwanul Muslimin Mesir di mana ia adalah satu tindakan yang salah, tidak adil dan tidak berperikemanusian.
Dengan hanya melakukan demontrasi aman di Dataran Rabaa Al Adawiyah, Kaherah yang menuntut agar Mohammad Morsi dikembalikan kuasanya sebagai Presiden Mesir yang sah, kesemua mereka ditangkap, dipenjara dan kemudiannya dijatuhkan hukuman mati.
Namun ketika berlakunya demonstrasi aman tersebut, tentera Mesir menyerbu Dataran Rabaa Al Adwiyah dan akibatnya ia telah menyebabkan lebih 800 orang terkorban di mana akhirnya telah menyebabkan konflik dalaman Mesir berpanjangan hingga ke hari ini.
Sewajarnya kesemua 12 ahli kumpulan Ikhwanul Muslimin ini diberikan peluang dibicarakan seadil-adilnya tanpa campurtangan mana-mana pihak terutamanya pihak-pihak yang berkepentingan yang tidak mahu keadilan dan kesaksamaan ditegakkan.
Kerajaan Mesir mahupun mana-mana pemerintah di Asia Barat harus belajar daripada sejarah lampau di mana persengketaan dan konflik hanya akan menambahkan masalah dan keganasan serta hanya akan melahirkan satu bentuk keganasan yang lain.
Dendam tidak akan melahirkan kebaikan dan perlu perubahan cara berpolitik yang drastik agar keamanan dan kesejahteraan dapat dicapai.
Sewajarnya bertasamuh, bertolak-ansur dan saling bermaafan demi untuk masa depan dan kebaikan semua.
Manfaatkan cerdik pandai di kalangan rakyat untuk membina kekuatan negara, bukan menambahkan lagi dendam dan pertumpahan darah kerana konflik yang berpanjangan hanya akan merugikan semua pihak.
Oleh itu Kerajaan Mesir sewajarnya menilai kembali hukuman tersebut agar dendam dan konflik yang berpanjangan mampu dielakkan demi untuk kebaikan dan kesejahteraan semua pihak terutamanya rakyat Mesir.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.