TEMA MUKTAMAR: MEMIMPIN NEGARA
Kita bermuktamar pada tahun ini dalam suasana yang sangat berbeza.
Pertamanya; kita sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dengan pengamalan norma baru dalam kehidupan.
Pada muktamar kali ini, kita terpaksa mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah perwakilan dengan jumlah mínima cukup korum yang ditetapkan oleh ROS, menghadkan jumlah pemerhati dan tetamu bagi membolehkan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Keduanya; kita bermuktamar dalam keadaan kita ‘MEMIMPIN NEGARA’ yakni mengadakan tahaluf-siyasi dalam Muafakat Nasional dan menjadi anggota dalam Kerajaan Pusat dan beberapa Kerajaan Negeri.
PAS berperanan membawa sistem tadbir-urus Islam dengan memanfaatkan setiap ruang yang ada.
Ia adalah menifestasi dakwah yang strategik bagi menangani permasalahan ummah secara praktikal dan bukan sekadar retorik.
‘MEMIMPIN NEGARA’ merupakan anugerah Allah kepada Pemuda PAS kerana ianya berlaku pada sesi kita dan membuka ruang yang sangat besar untuk Pemuda PAS belajar dan menyumbang secara langsung dalam pentadbiran negeri dan negara.
Maka seharusnya kita bersyukur dan melakukan anjakan paradigma dari sudut Siyasah,
Tarbiyah & Da’wah daripada kerangka Pembangkang kepada Pemerintah.
Moga Allah SWT mengurniakan Taufik dan HidayahNya kepada kita dalam memenuhi amanah yang diberikan.
PASCA PRU14 SEHINGGA MAC 2020: KEGAGALAN PAKATAN HARAPAN
Sidang Perwakilan dan Pemerhati sekalian,
PRU14 yang berlangsung pada tahun 2018 memperlihat kepada kita akan kestabilan proses demokrasi yang Malaysia amalkan apabila berlakunya pertukaran kerajaan secara aman tanpa sebarang kekecohan.
Rakyat pula berpeluang untuk melihat sejauh mana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat memenuhi aspirasi dan harapan tinggi rakyat khususnya untuk
mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya.
Namun begitu, sejak 9 Mei 2018, bermulalah episod-episod malang buat rakyat Malaysia.
Daripada Manifesto PH yang dikhianati, penghinaan kepada institusi raja, kos sara hidup yang masih tinggi malah semakin meningkat, penjualan asset-aset negara, ketegangan dan ketidakharmonian hubungan antara kaum, tergugatnya prinsip-prinsip yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, ancaman campur tangan asing kepada negara melalui perjanjian antarabangsa yang kononnya memperjuangkan hak asasi kemanusiaan seperti ICERD dan Statut Rom.
Dalam ketidaktentuan halatuju negara, Kerajaan Pakatan Harapan masih berseteru sesama sendiri.
Pertelingkahan dalaman PH yang serius sudah menjadi rahsia umum kepada rakyat dan para pelabur.
Ketidakstabilan Politik ini menatijahkan kemerosotan keyakinan pelabur kepada Malaysia sehingga menyebabkan ekonomi negara semakin tenat dan merudum berbanding dengan rakan-rakan negara serantau.
Jika dilihat rekod KLCI, setelah Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, indeks bursa telah merosot sebanyak hampir 17% sepanjang tempoh daripada Mei 2018 sehingga Mac 2020.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula mengucup daripada sekitar 6% setahun kepada hanya 3.6% pada tahun 2019.
PERUBAHAN MENYELAMATKAN NEGARA
Tanggal 14 September 2019 memberikan harapan baru kepada rakyat Malaysia apabila dua parti yang dominan di negara ini iaitu PAS dan UMNO disatukan melalui tahalluf siyasi Muafakat Nasional (MN).
Kestabilan politik yang diwujudkan pada blok pembangkang ini melahirkan kesepaduan dan berjaya memenangi beberapa siri pilihanraya kecil walaupun berdepan dengan jentera kerajaan PH.
Dengan ketumbukan blok pembangkang dari Muafakat Nasional dan serta kesedaran beberapa ahli parlimen dari Bersatu, PKR, GPS dan parti komponen BN, maka lahirlah kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan kerajaan PH melalui ‘Pintu Istana’.
Perubahan secara demokratik dan berlandaskan kepada keluhuran undang-undang ini telah dirakamkan melalui titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020 bertempat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Kehadiran kerajaan Perikatan Nasional akhirnya mengisi ruang kegagalan PH serta menunjukkan kecemerlangan dalam mengurustadbir negara.
Antaranya ialah pengiktirafan dunia kepada kejayaan Malaysia dalam mengurus pandemik COVID-19.
Izinkan saya untuk mengajak semua perwakilan supaya dapat bangun dan bertakbir sebagai tanda syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua para ‘frontliner’ yang diketuai oleh DUA (2) ‘Panglima Perang Negara’ iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan dan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sama-sama kita mendoakan agar mereka yang telah terkorban berhadapan dengan pandemik ini diampuni oleh Allah dan ditempatkan di kalangan orang soleh serta kita berdoa juga agar sentiasa dilindungi Allah SWT dari jangkitan COVID-19.
Pada masa yang sama kerajaan PN merangka strategi pemulihan ekonomi jangka panjang dalam menangani cabaran COVID-19 yang merangkumi 6 pendekatan atau dikenali sebagai “6R” iaitu Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilience), Memulakan Semula (Restart),
Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform). Kita bakal memasuki tahap keempat iaitu Pemulihan atau Recovery.
Melalui pendekatan Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilience), Memulakan Semula (Restart), kerajaan PN menyediakan pakej ransangan ekonomi yang komprehensif iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion.
Manakala, melalui pendekatan Pemulihan (Recovery) dan Memperkasa (Revitalise) pula, kerajaan PN memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi”.
Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA.
Daripada jumlah ini, sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan.
Peruntukan ini diperuntuk bagi mendokong 3 teras utama iaitu memperkasa rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.
Alhamdulillah, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300 ribu syarikat.
Sehingga 2 Jun 2020, Jabatan Perangkaan mendapati bahawa lebih kurang 12.7 juta atau 83.5% pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2% pada 17 Mei 2020.
Manakala indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI muncul indeks yang mencatat prestasi terbaik di ASEAN bagi separuh pertama 2020 apabila dilihat mengatasi indeks serantau sewaktu tempoh COVID-19.
Daripada Survei Khas Kesan COVID-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang dilaksanakan bulan lalu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 96 peratus mengakui memperoleh faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Jelas ini menunjukkan hasil kerja cemerlang kerajaan PN yang ikhlas menjaga kebajikan rakyat serta menyelamatkan negara dalam tempoh yang sukar ini.
Tahniah kepada YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Bin Hj Yasin dan barisan Menteri Kabinetnya.
Kesepakatan yang utuh ini perlu terus dipelihara demi memberi khidmat bakti terbaik buat rakyat.
Suka saya ingatkan bahawa musuh sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk meruntuhkan kesepakatan ini dan seterusnya mengkucarkacirkan semula kestabilan politik negara.
CABARAN ANAK MUDA DALAM MENDEPANI KEHIDUPAN NORMA BAHARU
Para Pemuda PAS yang dirahmati Allah, Unprecedented event pandemik COVID-19 memberikan kesan lansung kepada negara dan anak muda Malaysia khususnya dari sudut ekonomi.
Walaupun ekonomi negara dalam tempoh pemulihan, namun ia dijangka akan mencatat pertumbuhan negatif.
Pengangguran akan menjadi di antara cabaran terbesar menguruskan ekonomi negara.
Jabatan Perangkaan mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia adalah sebanyak 5.5% atau 860,000 orang bagi tahun 2020.
Namun, Alhamdulillah, dengan peningkatan aktiviti ekonomi hasil daripada perlaksanaan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan, kadar pengangguran Malaysia menunjukkan penyusutan 4.9% pada Jun 2020 daripada paras tertinggi 5.3% pada Mei 2020.
Dari sudut positif, pandemik COVID-19 telah membuka peluang kepada ekonomi digital.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan peningkatan 20% sumbangan kepada ekonomi digital tahun ini dengan jangkaan sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat sehingga RM170 bilion untuk tahun 2020 dan akan menjadi salah satu cabang ekonomi yang boleh memacu pemilhan ekonomi secara menyeluruh.
Untuk itu, anak muda Malaysia seharusnya mengambil peluang ini untuk mempelajari kemahiran dan kompetensi baru (upskilling & reskilling) dalam ruang lingkup ekonomi digital agar menjadi usahawan yang berdaya saing dalam ekonomi pasca COVID-19.
Perlu diingat, belia berumur 15-29 tahun merangkumi hampir 40% daripada keseluruhan tenaga buruh di Malaysia.
Oleh yang demikian, adalah penting bagi pihak Kerajaan untuk memastikan belia, termasuk graduan baharu bukan sahaja memperolehi pekerjaan, malah memperolehi pekerjaan yang berkualiti dan setara dengan kelayakan mereka.
PANDEMIK COVID-19 & GEOPOLITIK DUNIA: KESAN & PERANAN BARU ANAK MUDA
Di peringkat antarabangsa pula, ujian pandemik COVID-19 turut memberi impak signifikan ke atas arena geopolitik.
Maka selayaknya Pemuda PAS perlu bersedia untuk menyesuaikan peranan tidak hanya di peringkat lokal, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Isu ‘Laut China Selatan’ adalah antara isu geopolitik yang menjadi perhatian terhadap persaingan kuasa-kuasa besar dunia di rantau Laut China Selatan.
Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 mendedahkan tentera laut dan pengawal pantai China menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019.
Laporan ini berpendapat isu pencerobohan China khususnya di Beting Patinggi Ali (BPA) merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).
Ancaman nelayan asing dari Vietnam dan pendatang haram dari Myanmar melalui jalan laut juga semakin menjadi-jadi.
Isu ‘Kembalinya Ayasofya sebagai Masjid’, selepas 86 tahun dijadikan muzium oleh pemimpin sekular, akhirnya tapak bersejarah Hagia Sophia di Turki kembali menjadi masjid dan boleh dilawat oleh para pelancong dari seluruh dunia.
Keputusan Mahkamah Turki dengan sokongan kerajaan AKP pimpinan Erdogan ini seperti diduga mengundang reaksi negatif kuasa Barat – apatah lagi dalam keadaan Turki berdepan cabaran geopolitik di Libya, Syria, Greece dan Cyprus.
Isu ‘Ketidakstabilan politik di Yaman, Libya, & Syria’ serta Isu ‘Pengilhakan Bumi Palestin’, konflik perang saudara tidak berkesudahan di Yaman, Libya dan Syria mengakibatkan umat Islam di sana menghadapi ‘scarcity crisis’ yang amat parah.
Palestin (tempat suci ketiga umat Islam) pula berdepan dengan Rejim Zionis Israel yang masih mengusahakan perampasan wilayah (atau pengilhakan; annexation) Tebing Barat Palestin dengan restu Amerika Syarikat susulan peta ‘Deal of the Century’ tajaan Donald Trump pada penghujung Januari lalu.
Oleh yang demikian, bagi meghadapi suasana geopolitik Dunia ini, saya menyeru kepada Pemuda PAS untuk:
i. Membentuk kerjasama strategik dengan entiti seperti TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
ii. Mengadakan Kempen ‘Pemuda PAS sertai TLDM dan Maritim Malaysia’ atau pasukan simpanan laut seperti Pasukan Simpanan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSSMM) dan Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) sebagai langkah awal Pemuda PAS menjadi Pemuda Islam yang bersedia mempertahankan kedaulatan maritim negara.
iii. Memperkasa hubungan yang sedia ada dengan pemuda Parti Islamis dan pemuda AKP Turki bagi menyokong dasar luar Turki yang positif untuk kepentingan umat Islam di Timur Tengah.
Untuk pengetahuan bersama, Pemuda PAS telahpun memulakan langkah kerjasama Sektor Pendidikan dengan institusi berkaitan di Turki melalui Lawatan Silang Belajar ke Turki pada 14-21 Mac 2020.
Antara pemegang taruh dan pertubuhan yang telah diadakan libat urus termasuklah Pemuda Parti Saadet (Saadet Partisi), Anatolian Youth Association (Anadolu Gençlik Dernegi – AGD), Federation of International Student Associations (Uluslararasi Ogrenci Dernekleri Federasyonu – UDEF), Ibnu Khaldun University, Sinan Pasa Madrasah, TRT World News Agency & Research Center dan lain-lain lagi.
iv. Meneruskan usaha penyatuan gerakan pemuda Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan kedaulatan Palestin melalui rangkaian teknologi komunikasi serta mengaturkan kunjung hormat dengan Ibu Pejabat OIC bagi menyatakan pandangan Pemuda PAS dan rakan-rakan yang lain terhadap isu ini.
Sebagai rekod, Pemuda PAS telahpun menghantar dan menjelaskan “Memorandum On Trump’s Middle East Peace Plan” kepada Pegawai Kedutaan US dan kemudiannya disusuli dengan demonstrasi aman di hadapan kedutaan US.
Semoga kesemua cadangan inisiatif dapat meningkatkan cinta watan Pemuda PAS kepada kedaulatan negara, pelindung kepentingan strategik negara, jambatan dakwah merentas timur dan barat, ejen penyatuan pemuda Islamis sedunia dan seterusnya merintis kemenangan akhir zaman yang dijanji Allah SWT dan Rasulullah SAW.
MEMPOSOSI DPPM DALAM LANDSKAP POLITIK ANAK MUDA
Para muktamirin dan pemerhati,
Alhamdulillah, perancangan dan gerak kerja dalam mempersiap dan memposisi Pemuda PAS sebagai kepimpinan masa hadapan negara secara agresif berlaku sejak dari awal sesi ini.
Semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, Pemuda PAS memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kollaboratif serta memimpin kepada penyatuan pemuda di peringkat parti-parti pembangkang.
Pemuda PAS telah melakukan pertemuan atau ‘engagement’ dengan pelbagai pihak termasuklah bekas Menteri Belia & Sukan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM), Pemuda MCA, Pemuda MIC dan rakan-rakan dari Gagasan Sejahtera untuk berkongsi idea dan pandangan berkenaan halatuju pembangunan anak muda Malaysia.
Pemuda PAS juga telah menganjurkan Townhall Mega Anak Muda dan menjemput semua pimpinan politik pemuda untuk bersama-sama sepentas membicarakan topik-topik dan isu-isu anak muda. Pertemuan ini dirancakkan lagi apabila tertubuhnya Muafakat Nasional.
Di samping itu, Pemuda PAS juga sangat responsif samada melalui kenyataan media, melaksanakan rapat umum dan forum terbuka bagi menyatakan pandangan Pemuda PAS terhadap isu-isu domestik khususnya yang menyentuh berkenaan anak muda, isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum serta isu kedaulatan negara serta berkaitan dengan hak-hak yang terkandung dalam Perlembagaan Negara yang mewarnai pemerintahan PH selama 22 bulan.
Setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat, pendekatan kita berubah.
Setiap isu yang dikenalpasti perlu disalurkan pada saluran yang tepat agar isu itu dapat diselesaikan secara tuntas oleh pihak Kerajaan.
Sebagai contoh, Pemuda PAS telah bertemu dan berbincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan yang diwakili oleh Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong pada 5 Jun 2020 berkenaan Isu Pemandu Mabuk.
Syor berkenaan penyalahgunaan alkohol oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah dibentang serta diterima dan akhirnya, Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada kesalahan pemandu mabuk yang menyebabkan kematian telah berjaya diluluskan.
Pemuda PAS juga berkesempatan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi membawa pada 28 Julai 2020. LIMA (5) perkara telah diutarakan iaitu:
i. DPPM melalui Sektor Pendidikan (PASTI, SRITI & SMITI) dan Sektor Anak Muda [Department of Art, Culture & Sport (DACS), Jabatan Professional (JPro), Jabatan AMAL Malaysia (JAM) dll] bersedia untuk membantu pihak Kementerian Agama dalam pelbagai usaha mendampingi para belia/beliawanis bagi memperkukuh fikrah Islami dan modal Insan berteraskan Islam sebagai Agama Persekutuan.
ii. Menegaskan agar Akta RUU355 dapat dibentang dan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang.
iii. DPPM akan menyediakan Modul cadangan dan tenaga pakar dalam usaha Pembangunan Program Tarbiyah dan Pemulihan golongan Transgender (PTPT) yang holistik.
iv. DPPM bagi mewakili Pemuda Muafakat Nasional menegaskan agar pihak kerajaan menyegerakan penubuhan RCI untuk isu Tabung Haji.
v. DPPM menyeru agar usaha dakwah dan kebajikan umat Islam di Sabah dan Sarawak dapat diberikan perhatian yang lebih serius dan menyeluruh.
Lebih mengujakan, Pemuda PAS telah bertemu dengan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Bin Hj Yasin pada 4 September 2020 bagi membawa cadangan solusi untuk mengurangkan Pengangguran di kalangan Anak Muda (Pekerja Belia dan Graduan).
TIGA (3) Teras Strategik yang difokuskan adalah Peluasan Jaringan, Peningkatan Kemahiran Dan Pertambahan Peluang.
Secara ringkasnya, antara cadangan dasar bagi jangkamasa pendek dan panjang bagi menangani isu ini adalah seperti berikut:
{Jangkamasa Pendek}
i. Transformasi portal ‘myfuturejobs’ dan ‘jobsmalaysia’ menjadi Platform Pemadanan Kerjaya Bersepadu Nasional
ii. Galakan graduan untuk melanjutkan pelajaran & meningkatkan kemahiran melalui pensijilan profesional
iii. Perluasan peluang pekerjaan dalam sektor awam dan badan berkanun
iv. Elaun pencari kerja belia melalui takaful pekerjaan Malaysia
v. Program penugasan semula pekerjaan dalam sektor terpilih
vi. Pembinaan ekosistem latihan dalam industri yang lengkap
{Jangkamasa Panjang}
i. Kerjasama antara industri & institusi pendidikan dalam mewujudkan kurikulum pendidikan menengah yang mesra industri & SME menuju IR 4.0
ii. Penaiktarafan sektor pendidikan teknikal & vokasional
iii. Wakaf pembangunan Start-Up belia
iv. Insentif pengecualian cukai kepada entiti perniagaan belia
v. Insentif pengurangan cukai kepada syarikat-syarikat dan entiti mesra-pekerja belia
vi. Intensifikasi ‘Social Enterprise’ (SE) belia tempatan
Saya mengharapkan agar pendekatan ini juga diambil oleh Pemuda PAS di peringkat negeri-negeri agar kita memainkan peranan aktif sebagai Rijalud-daulah dalam membantu menjayakan agenda kerajaan PAS dan PN di peringkat negeri.
Tahniah kepada Perhubungan PAS Negeri Kedah yang berani memposisikan Pemuda di jawatan-jawatan kritikal di dalam Kerajaan PN Kedah.
Kedah adalah negeri terbaik sebagai model parti menguasai kerajaan yang effektif.
Tahniah juga dengan pencapaian 100 hari kerajaan negeri Kedah yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.
Semoga kejayaan memerintah ‘MINI MALAYSIA’ ini akan merintis kemenangan yang lebih besar kepada PAS dalam PRU ke-15 nanti.
GAGASAN PEMUDA PAS UNTUK ANAK MUDA
Berdasarkan senario dan situasi yang sedang kita hadapi, Pemuda PAS melihat perlunya anjakan segera kepada inisiatif-inisiatif anak muda yang bersifat lebih lestari untuk menjamin pembentukan generasi rakyat yang berketahanan tinggi dalam menghadapi apa juga senario dan situasi semasa dan mendatang.
Untuk itu Pemuda PAS melihat perlunya tindakan dan penelitian daripada Kerajaan Malaysia kepada perkara-perkara berikut:
i. Meneliti semula Dasar Belia Negara agar dapat memenuhi keperluan negara berdasarkan situasi semasa dan perubahan landskap sosio-politik-ekonomi disebabkan COVID-19.
ii. Memperkukuh perpaduan dan semangat patriotisma di kalangan anak muda dalam pembinaan negara menerusi penglibatan mereka dalam urustadbir negara dan penggubalan polisi serta penerapan kefahaman RukunNegara.
iii. Program pembangunan anak muda yang lebih menyeluruh bagi menghasilkan kepimpinan dan tenaga kerja berkompetensi tinggi untuk membangun negara.
iv. Pembangunan ekonomi anak muda yang mapan bagi membentuk kuasa ekonomi anak muda yang berdaya saing serta menyumbang untuk ummah.
v. Pembinaan Dasar Pendidikan yang lebih holistik dan rabbani untuk melahirkan modal insan yang cemerlang.
vii. Pembangunan Sukan yang lebih sistematik dan tersasar bagi melahirkan atlit bertaraf antarabangsa yang mengharumkan nama negara.
viii. Mengaktifkan kerjasama belia serantau bagi membincangkan isu pembangunan ummah serantau
ix. Memperkukuh ikatan politik anak muda melalui platform Muafakat Nasional & Perikatan Nasional yang akan meningkatkan kesedaran politik di kalangan generasi muda.
x. Pemantapan perpaduan negara melalui pembudayaan dialog antara kaum dan agama dan pengukuhan sekolah kebangsaan.
Untuk ini, Pemuda PAS akan menggerakkan organisasi dan agensi-agensi yang berada di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk membuat kajian terperinci serta menghasilkan cadangan-cadangan untuk dibawa kepada kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan supaya dapat ambil perhatian dan dilaksanakan bagi manfaat anak muda Malaysia.
GENERASI TAJDID PEMUDA PAS MEMIMPIN NEGARA
Para ansarullah sekalian,
Sebagai Generasi Tajdid dalam memimpin negara, beberapa kerangka dasar perlu dilaksanakan oleh semua Pemuda PAS dalam menghadapi dinamika politik tanahair:
i. Pemuda PAS perlu menjadi Agen Perpaduan Ummah Demi mewujudkan kestabilan politik tanahair, Pemuda PAS perlu berperanan sebagai penyatu kepada sayap pemuda parti-parti yang mendokong kerajaan. Melihat kepada kajian-kajian terkini dan referéndum rakyat melalui beberapa siri pilihanraya kecil yang kita lalui sebagai front Muafakat Nasional, sentimen rakyat sangat positif kepada Kerajaan Perikatan Nasional.
Oleh yang demikian, mesej ini harus dikekalkan.
Kita perlu berjiwa besar, tenang, sabar dan redha dalam apa jua keadaan.
Wala’ dan Thiqah pada ketetapan pimpinan.
Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) perlu diamalkan.
Sekiranya berlaku berselisih pendapat di antara sayap pemuda parti-parti ini, maka ia perlu diselesaikan secara tertutup melalui meja rundingan.
Perpaduan ummah yang utuh akan membina keyakinan dan kepercayaan daripada kalangan rakyat yang majmuk.
Sebagai kelompok majoriti dalam negara, perpaduan umat Islam adalah penting dalam memastikan kestabilan negara dari sudut politik, sosial dan ekonomi.
Percayalah, keharmonian antara kaum dan agama akan lebih mudah dicapai apabila umat Islam dapat bersatu di atas prinsip yang benar.
Kita perlu fokus kepada agenda menyelamatkan Malaysia dan ummah!
ii. Pemuda PAS menjadi Rijalud-Daulah dengan berteraskan kepada asas Ubudiyyah (Integriti/bekerja sebagai ibadah), Masu’liyyah (akauntabiliti) dan Itqan (Perkhidmatan dan pengurusan yang cemerlang).
Bertindak menjadi kerajaan yang efektif sama ada di peringkat Kerajaan Pusat, Negeri, Kerajaan Tempatan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan ruang-ruang lain dengan mengadakan hubungan baik terhadap kakitangan kerajaan.
Berhati-hati dalam menguruskan perbendaharaan negara dengan mengenali risiko-risiko yang boleh berlakunya pecah amanah, rasuah dan salah laku.
Prihatin terhadap denyut nadi rakyat.
Hayatilah firman Allah SWT yang berbunyi:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
An Nisa:58
Inilah masanya kita membuktikan kompetensi pemuda PAS kepada rakyat.
Walk the talk!
iii. Pemuda PAS perlu membawa agenda Islam sebagai keutamaan dalam memimpin negara.
Saya pasti ia bukan perkara semudah yang disangka kerana kedudukan PAS yang tidak mempunyai majoriti dalam kerajaan, namun ia tidak mustahil jika kita mengambil pendekatan konstruktif dan kolaboratif dengan pemegang taruh (stakeholders) yang terbabit.
Fahami situasi, kenalpasti jurang, susun keutamaan serta berstrategi dalam membawa cadangan dan idea.
Agenda memartabatkan Islam perlu dijadikan agenda teras di semua peringkat.
Antara fokus yang perlu diketengahkan ialah:
1. Mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam;
2. Mendedahkan kepada masyarakat bukan Islam akan keindahan Islam;
3. Membawa usul dan cadangan kepada kerajaan untuk menambahbaik urustadbir kerajaan;
4. Menyuarakan isu-isu yang perlu ditangani kerajaan khususnya yang melibatkan Islam secara berhikmah walaupun kemungkinan menyebabkan rakan muafakat kita tidak selesa.
iv. Pemuda PAS menjadi Pemuda Ansorullah
Tarbiyah adalah DNA Pemuda PAS.
Ia bersifat usuli pada prinsip tetapi muassir dari sudut pendekatan.
Oleh yang demikian, selain dari penambahbaikan muqarrar yang sedia ada, penyampaian konten tarbiyah juga perlu bijaksana dan dinamik dalam mengambil contoh-contoh semasa tanpa mengabaikan asolah (keaslian) asas dan fikrah Islami. Ini jelas dalam firman Allah SWT:
قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”
Surah Yusuf 108
Selaras dengan gagasan yang dibawa oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat dalam membentuk generasi 12,000 ansorullah,
Pemuda PAS perlu terus ke hadapan dalam memastikan ciri-ciri ansorullah ini tersemat kukuh dalam generasi baru yang bakal dibentuk dan lahir dalam PAS.
“Sebaik-baik sahabat ialah 4 orang, sebaik-baik pasukan peninjau ialah 400 orang, sebaik baik tentera ialah 1000 orang, dan jumlah 12000 orang tidak akan kalah dengan sebab sedikit.”
(Hadis riwayat Abu Daud & Tarmizi)
Oleh yang demikian, Pemuda PAS wajib menggunakan aplikasi MyMutabaah bagi mengukur pencapaian secara harian dalam pembentukan Generasi Ansorullah.
vii. Pemuda PAS perlu menjadi Wartawan dan Pemberita Parti dan Kerajaan.
Perang alaf baru adalah perang persepsi dan pemikiran.
Medannya adalah Media Sosial.
Mengikut kajian, sentimen pengundi dalam PRU-14 banyak dipengaruhi oleh media sosial.
Maka, Penguasaan Media Sosial perlu menjadi keutamaan kepada jentera penerangan di setiap peringkat.
Sektor Penerangan dan Komunikasi Strategik DPPM telah melakukan pelbagai usaha dan pendekatan untuk memastikan jentera penerangan Pemuda PAS di semua peringkat berada di tahap yang terbaik.
Ini termasuk beberapa siri latihan berkenaan media sosial (Twitter & Facebook), latihan penulisan, pembentukan kumpulan Twitter dan mewujudkan saluran-saluran penerangan untuk capaian kepada warga internet.
Namun begitu, dalam pemerhatian saya, kita masih lagi kurang responsif terhadap isu-isu yang timbul, tidak agresif dalam mengoptimumkan penggunaan ruang siber dalam memberi penjelasan dan penerangan terhadap serangan kepada PAS serta kerajaan.
Ini wajib diperbaiki.
Bersistematik dalam bertindak balas dengan mengenalpasti isu-isu, kreatif dalam penyampaian bersesuaian dengan golongan sasaran.
Banyakkan konten bersifat video pendek yang lebih ‘engaging’, fahami ‘algorithm’ media sosial agar kita dapat memaksimakan capaian.
Ingatlah pesanan Saidina Ali r.a, “Kebatilan yang terancang akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.”
viii. Pemuda PAS sebagai Agen Keharmonian Kaum.
PAS kini adalah pemimpin kepada rakyat Malaysia yang majmuk.
Maka, adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap pemuda untuk berperanan memimpin kepelbagaian kaum dan agama anak muda.
Pemuda PAS perlu memperbanyakkan dialog dan mengadakan program bersifat pendidikan kepada golongan bukan Melayu dan bukan Islam yang masih ramai mempunyai salah tanggapan terhadap perjuangan PAS.
Pemuda PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional telah mempunyai hubungan yang akrab dengan pelbagai NGO bukan Islam dan telah dijemput ke banyak aktiviti perpaduan anjuran mereka.
Karnival Kaligrafi yang dianjurkan Januari lalu adalah satu kejayaan besar di mana Pemuda PAS berjaya menggunakan peluang daripada isu yang sensitif kepada bentuk program yang harmoni dan bersifat mendidik
di samping siri-siri fórum dan dialog.
PERSIAPKAN SEGALA KELENGKAPAN
Saya masih teringat ucapan Tuan Guru Presiden PAS sejurus sahaja selepas PRU ke-13 di Masjid Rusila di hadapan anak muda pada tanggal 8 Mei 2013 apabila beliau menyatakan:
“Wahai anak muda, teruskan perjuangan selepas ini, mungkin kemenangan bukan berlaku pada zaman saya, mungkin kemenangan berlaku pada zaman kamu semua, tetapi saya mengimpikan untuk melihat Islam menang pada zaman saya, iman saya adalah melihat Islam berdaulat”
Harus diingat bahawa kita masih belum menang dan jangan merasa selesa dengan anugerah Allah ini kerana ia hanya permulaan dan perjalanan kita masih panjang dalam mendaulatkan Islam.
Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: ‘’Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang. Dengan begitu, kamu menggetarkan musuh Allah dan musuh kamu.”
(Al-Anfal: 60)
Wahai para pemuda, ketahuilah bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai kemampuan PAS untuk mentadbir negara pada masa hadapan.
Sekiranya dengan sedikit ruang yang dikurniakan oleh Allah dalam Perikatan Nasional ketika ini kita mampu membuktikan keupayaan PAS, InsyaAllah rakyat akan memberikan peluang yang lebih banyak kepada kita pada PRU15 kelak.
Ayuh! Kita bergandingan untuk terus memacu kemenangan yang lebih besar dalam PRU ke-15.
Ayuh! Kita bersiap siaga mengaktifkan jentera pilihanraya di semua peringkat.
Buktikan pemuda mampu mendepani cabaran! Takbir!
Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia
