PAS: Antara Tarbiyah, Dakwah Dan Siyasah, Sebuah Gerakan, Bukan Sekadar Parti

PAS: Antara Tarbiyah, Dakwah Dan Siyasah, Sebuah Gerakan, Bukan Sekadar Parti

Dalam dunia politik moden yang penuh dengan angka, undi dan kerusi, ramai melihat kekuatan sesebuah parti hanya dari kaca mata pilihan raya.

Jika menang, dipuja; jika kalah, dianggap tamat riwayat.

Namun, bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), ukuran kemenangan tidak pernah diukur semata-mata di peti undi.

PAS berdiri atas asas yang jauh lebih dalam daripada sekadar strategi politik, ia berdiri atas manhaj tarbiyah, dakwah dan siyasah Islamiah yang bergerak serentak, saling melengkapi dan berakar daripada wahyu.

PAS Bukan Sekadar Parti Politik

PAS bukan sekadar parti politik yang bertanding lima tahun sekali.

Ia sebuah harakah Islamiyyah, sebuah gerakan Islam yang membawa gagasan pembinaan manusia, masyarakat dan negara di atas asas iman dan syariat.

Dalam struktur perjuangannya, siyasah hanyalah satu cabang, bukan keseluruhan.

Apabila PAS menyertai pilihan raya, ia bukan semata-mata untuk berkuasa, tetapi untuk membuka ruang kepada pelaksanaan Islam dalam ruang kehidupan masyarakat dan pentadbiran negara.

Namun, andai kuasa politik itu hilang atau digugat, perjuangan PAS tidak pernah terhenti.

Ini kerana asasnya ialah tarbiyah dan dakwah, bukan kerusi atau jawatan.

Tarbiyah: Jantung Kepada Perjuangan

Jika ahli diibaratkan sebagai Rare Earth Elements (REE), bahan berharga yang tersembunyi dalam tanah, maka tarbiyah ialah proses pemurnian dan penghasilan nilainya.

Ahli yang tidak melalui tarbiyah bagaikan mineral mentah yang belum dimurnikan, belum dapat digunakan untuk membina tamadun.

Melalui usrah, tamrin, kuliah dan halaqah, PAS membentuk kader dakwah yang tahan ujian, sabar dalam perjuangan dan istiqamah walau ketika ditekan.

Di sinilah PAS berbeza daripada parti-parti politik lain.

Parti lain membentuk ahli untuk berfikir tentang strategi kuasa, tetapi PAS membentuk ahli untuk memahami erti jihad, amanah dan perjuangan kerana Allah.

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Itulah prinsip tarbiyah yang menjadi nadi PAS, membentuk niat yang betul agar setiap gerak politik dan dakwah berakar daripada keikhlasan.

Dakwah: Produk yang Menghidupkan Masyarakat

Hasil daripada tarbiyah yang mantap, lahirlah gerak dakwah yang menjadi wajah sebenar perjuangan PAS.

Dakwah ialah produk yang menghidupkan masyarakat, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan membina kefahaman Islam di akar umbi.

PAS tidak menunggu menang untuk berdakwah.

PAS berdakwah di surau, di kampung, di ladang, di universiti dan di parlimen.

Dalam konteks ini, kemenangan dakwah lebih besar nilainya daripada kemenangan politik.

Kerana apabila masyarakat telah memahami Islam, maka kemenangan politik akan datang dengan sendiri, bukan kerana kempen, tetapi kerana keyakinan.

Siyasah: Alat, Bukan Matlamat

Dalam tiga cabang ini, siyasah adalah saluran, bukan tujuan akhir.

Ia umpama ‘marketing’ dalam dunia perniagaan, menyampaikan produk (iaitu dakwah dan nilai Islam) kepada masyarakat luas melalui saluran kuasa dan dasar.

Namun, jika ‘marketing’ gagal, produk tetap ada.

Dakwah tetap berjalan dan tarbiyah tetap diteruskan.

Kerana bagi PAS, kekalahan dalam pilihan raya bukan kekalahan perjuangan, tetapi sekadar ujian dalam perjalanan yang panjang.

Tarbiyah membentuk manusia. Dakwah membentuk masyarakat. Siyasah mengatur dasar.

Jika satu cabang tergugat, dua cabang lain mesti terus hidup.

Kerana PAS bukan parti bermusim, ia gerakan sepanjang zaman.

Amanah Perjuangan di Hadapan Allah

Akhirnya, perjuangan ini bukan soal imej atau kemenangan duniawi, tetapi amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.

Setiap ahli, pimpinan dan penyokong akan ditanya bukan sejauh mana mereka berjaya, tetapi sejauh mana mereka ikhlas dan istiqamah dalam membawa risalah Islam.

Firman Allah SWT:

وَقِفُوهُمْ ۖ إِنَّهُم مَّسْـُٔولُونَ

“Dan tahanlah mereka (di Padang Mahsyar); sesungguhnya mereka akan ditanya.” (Surah al-Ṣāffāt: 24)

Maka, perjuangan dalam PAS bukan sekadar label Islam, tetapi amanah besar di hadapan Allah.

Tarbiyah ialah jalan memperbaiki diri, dakwah ialah usaha memperbaiki masyarakat dan siyasah ialah ikhtiar memperbaiki sistem kehidupan manusia agar tunduk kepada hukum Allah.

Kesimpulan: PAS Adalah Madrasah Perjuangan

PAS ialah madrasah yang membina manusia sebelum membina negara.

Dalam madrasah ini, kalah bukan bermakna gagal dan menang bukan jaminan kejayaan.

Selagi tarbiyah berjalan, dakwah subur dan siyasah istiqamah, perjuangan ini hidup dan berkembang.

Inilah rahsia mengapa PAS kekal relevan lebih tujuh dekad, walaupun berhadapan badai politik, fitnah dan tekanan.

Kerana perjuangan yang berasaskan iman tidak akan mati, walau undi berubah, prinsipnya tetap teguh.

PAS