Pembentangan Bajet 2026 hari ini, ialah bajet kelapan yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Eksekutif Negeri Terengganu.
Sebuah negeri yang kaya dengan hasil petroleum yang suatu waktu dahulu pernah mencecah sehingga 80 peratus pendapatan negeri, pernah digelar ‘Kuwait’ Malaysia.
Banyak pendedahan oleh PAS pada kempen-kempennya ditahun 1978 sehingga 1999 dan seterusnya setelah berjaya merampas Terengganu pada tahun 2000, menunjukkan kepincangan pengurusan kewangan negeri yang serius dengan jumlah yang begitu besar.
Kesilapan sama kemudiannya dibuat lagi oleh BN pasca kemenangan semula mereka pada 2004, sehingga 2018.
Kita tidak berhajat untuk mengembalikan terlalu banyak nostalgia pahit yang dilakukan BN Terengganu kepada rakyat.
Namun, kesedaran kita berikan menerusi lipatan sejarah, agar ia tidak berulang.
Amat memeranjatkan apabila kita mengetahui yang kewangan Sarawak sangat kukuh dengan nilai RM31B.
Sedangkan Terengganu apabila diambil dari BN, masih mempunyai hutang sebanyak hampir RM1B.
GLC-GLC di Terengganu juga, banyak yang mengalami kecederaan yang sangat parah di bawah BN.
Ada yang seperti mayat hidup, hidup segan, mati, tidak mati-mati, kerana ada kepentingan yang terselit.
Banyak projek yang gagal, bukan satu dua juta, tetapi ratusan juta yang apabila dikumpulkan semuanya, ia mencecah berbilion ringgit.
Cukuplah kita berikan projek LPT2 sebagai misalnya, takut terlalu panjang pula senarainya nanti dan saya yakin ia sudah dihafal oleh rakyat Terengganu.
Banyak janji-janji BN sebelum PRU seperti pemberian tanah kepada rakyat, namun ia ibarat pepat di luar, rencong di dalam, penuh dengan tipu daya.
Ia datang dengan ugutan, terutama kepada penyokong pembangkang.
Manakala peruntukan kepada Adun pembangkang, dinafikan terus, ibarat duit negeri itu ialah faraid dari ibu bapa BN.
Begitulah kepincangan pengurusan negeri oleh BN.
Dan apabila PAS berjaya mengambil alih Terengganu bagi kali ketiga 2018, mencontohi pentadbiran yang dilaksanakan oleh Presiden PAS pada tahun 1999-2004 tanpa dendam, Dr Sam memulakan langkah berbincang dengan Tun Mahathir bagi disalurkan wang royalti terus kepada akaun negeri.
Tun, tanpa syarat, bersetuju dengan permintaan itu dan bermulalah sejarah pengurusan cekap oleh Kerajaan Terengganu untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
20 Manifesto yang dijanjikan berjaya dilangsaikan menjelang akhir penggal pemerintahan.
Peruntukan kepada semua Adun diberikan sama banyak, tanpa mengira bendera mereka.
Pembahagian tanah diberikan kepada yang layak secara saksama, rakyat tidak perlu bimbang dengan ugutan, sehinggakan ada foto bekas JKKK Umno dahulu turut tersenyum lebar menerima geran tanah.
Entah-entah mereka juga menunggu lama untuk menerima geran itu semasa dalam Umno dahulu.
Lalu ia tular dan melonjakkan nama Dr Sam dan barisan Exco Terengganu sebagai hebat mentadbir.
Umno cuba menggugat, tetapi mereka sudah terlalu lemah, tidak berdaya untuk menjatuhkan Dr Sam, walaupun ketuanya selalu mengamuk dalam Dun konon PAS menzalimi rakyat.
Buktinya apabila PRU-15 diadakan, Umno menjadi mandul, tiada keturunan dalam Dun Terengganu.
Menjelaskan kebencian majoriti rakyat Terengganu terhadap BN yang terbukti caca marba dalam mengurus harta rakyat semenjak puluhan tahun.
Lalu, BN menumpang PH yang menjadi Kerajaan Pusat, berganding dengan mereka walau telah bersumpah dengan nama Allah, tidak akan bersama.
PMX mula menyekat peruntukan yang sebelum ini diberikan terus kepada Terengganu oleh Tun Mahathir.
PMX memberikan berbagai syarat kepada Dr Sam untuk diberikan wang hak milik negeri itu.
Beliau menggunakan hujah-hujah Umno dahulu untuk menyekat royalti, sedangkan beliaulah yang begitu tegar menentang apa yang beliau gelar sebagai kezaliman BN terhadap Terengganu waktu menjadi pembangkang.
Sehinggakan banyak kesusahan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri.
Ini kerana ketakutan PMX menyaksikan pada penggal lalu, PAS Terengganu berjaya menunaikan janji-janji PRU, sementara PH, masih terkial-kial mencari alasan untuk tidak menunaikan janji-janji mereka.
Lebih pedih untuk PMX menerima apabila dalam kempen PRK Kemaman, Dr Sam, secara tiba-tiba diangkat oleh rakyat dengan gelombang Dr Sam for PM-11.
Dan sangat jelas kempen itu berjaya dengan penambahan majoriti.
Maka untuk menyekat kemaraan ini, sekatan-sekatan semakin kuat dilakukan dan setelah tangan dan kaki diikat, kemudiannya menuduh Dr Sam dan barisan Exco Terengganu sebagai gagal.
Mereka cukup sedar, jika Dr Sam diberikan peruntukan, mungkin PH BN juga bakal ghuyub dalam parlimen sebagaimana BN dalam Dun Terengganu.
Malang sekali konsep persekutuan gagal difahami apatah lagi diamalkan oleh PH dalam masa mereka melaung-laungkan reformasi pentadbiran yang mereka dakwa sebagai korup oleh BN dahulu.
Tetapi kini, BN dengan akhlak buruk yang sama, mereka jadikan rakan seperjuangan.
Kelihatannya PH lebih korup daripada BN, kerana BN dahulu mungkin tidak tahu dan jahil, tetapi PH, mereka sudah tahu, sudah berjuang, sudah menentang apa yang BN buat, tetapi kini tetap juga mereka buat.
Mohd Nasir Abdullah

