Lima Isu Besar Di Sidang DUN Terengganu: Suara Negeri Yang Menuntut Keadilan Federalisme

Lima Isu Besar Di Sidang DUN Terengganu: Suara Negeri Yang Menuntut Keadilan Federalisme

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ini memperlihatkan satu gelombang besar suara wakil rakyat negeri yang berani bersuara tentang hak negeri, kedaulatan ekonomi dan keadilan dalam sistem federalisme.

Lima isu utama menjadi tumpuan sepanjang sesi perbahasan dan kelima-limanya membawa satu mesej yang jelas:

Terengganu tidak mahu lagi ditindas di bawah struktur persekutuan yang pincang.

1. Royalti Petroleum: Kedaulatan Ekonomi yang Tercemar

    Isu paling panas diangkat ialah gangguan terhadap penyaluran royalti petroleum.

    Wakil-wakil rakyat menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan wajib menghormati prinsip federalisme, di mana hasil negeri tidak boleh ditahan sewenang-wenangnya.

    Sebahagian royalti kini tidak disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri, sebaliknya disalurkan melalui pelbagai saluran lain yang dikawal oleh agensi persekutuan.

    Tindakan ini disifatkan sebagai satu bentuk pembajakan fiskal yang melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam perbahasan, beberapa ADUN menegaskan bahawa penyaluran yang masuk tak ikut waktu ini menggugat kelancaran pentadbiran negeri.

    Lebih membimbangkan, hasil milik negeri seolah-olah menjadi alat tekanan politik, sedangkan petroleum yang digali itu berada di perairan Terengganu, bukan di Putrajaya.

    Kerajaan Negeri menegaskan, royalti bukan derma, tetapi hak yang dijamin undang-undang.

    Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan menjamin agihan hasil bersih kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas.

    “Ini bukan soal siapa perintah, ini soal siapa pemilik tanah dan perairan,” kata salah seorang ADUN.

    Nada tegas ini menggambarkan keresahan bahawa hasil bumi negeri masih dikawal oleh tangan luar yang tidak memahami denyut rakyat Terengganu.

    2. REE: Unsur Nadir Bumi: Jangan Ulang Tragedi Petroleum

      Isu kedua yang mencetuskan perbahasan hangat ialah pengurusan Rare Earth Elements (REE), atau unsur nadir bumi yang kini menjadi rebutan industri dunia.

      ADUN-ADUN mengingatkan kerajaan supaya tidak membiarkan REE menjadi tragedi kedua selepas petroleum, apabila hasil negeri dijarah oleh pihak luar dengan pulangan kecil kepada rakyat tempatan.

      REE, yang digunakan dalam teknologi moden seperti bateri, telefon pintar dan kenderaan elektrik merupakan aset strategik yang mampu mengubah ekonomi negeri.

      Tetapi jika pengurusannya tidak telus, ia akan menjadi beban ekologi dan sumber ketidakadilan ekonomi.

      Maka, desakan jelas disuarakan: REE mesti kekal milik rakyat Terengganu, dikawal oleh kerajaan negeri, dan hasilnya disalurkan kepada pembangunan tempatan.

      Negeri tidak boleh lagi menjadi pembekal bahan mentah kepada pusat, sementara manfaat besarnya dinikmati oleh syarikat luar.

      3. Tuntutan Terhadap FELDA: 15,000 Hektar Tanah Negeri Tanpa Bayaran

        Pendedahan bahawa FELDA telah menggunakan hampir 15,000 hektar tanah di Terengganu tanpa bayaran kepada kerajaan negeri selama lebih 40 tahun mengejutkan ramai pihak.

        Kerajaan negeri kini menuntut semula hak tersebut dan jika tiada penyelesaian sebelum 29 November 2025, tindakan undang-undang termasuk penyitaan tanah akan diambil.

        Ini bukan sekadar isu pentadbiran tanah, ia menyentuh soal kedaulatan negeri terhadap asetnya sendiri.

        FELDA ditubuhkan dengan niat baik untuk membasmi kemiskinan luar bandar, namun dalam konteks ini, negeri merasakan dirinya dizalimi apabila tanahnya digunakan tanpa pampasan wajar.

        “Empat dekad adalah masa yang terlalu lama untuk berdiam,” kata seorang ADUN kerajaan.

        Suara itu disambut tepukan oleh dewan, menandakan kesepakatan bahawa Terengganu kini mahu menegakkan hak yang telah lama dinafikan.

        4. LPT3: Projek Tak Kunjung Tiba

          Isu keempat yang terus menghantui sidang kali ini ialah kelewatan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).

          Kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) telah siap sejak 2009, dengan kos asal RM2.8 bilion.

          Kerja awalan bermula pada 2022, namun kini kosnya telah melonjak kepada RM9.8 bilion dan masih tiada khabar projek dimulakan sepenuhnya.

          Lebih menyakitkan apabila dalam masa yang sama, Pulau Pinang diluluskan projek LRT Mutiara Link bernilai RM17 bilion.

          Perbandingan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat pantai timur yang melihat ketidakseimbangan dalam keutamaan pembangunan negara.

          “Kalau LRT di Pulau Pinang boleh siap cepat, kenapa LPT3 yang lebih penting untuk menghubungkan pantai timur dibiarkan tergantung?” soal seorang wakil rakyat yang turut mendapat tepukan dari seluruh dewan.

          LPT3 bukan sekadar jalan raya, ia adalah nadi penghubung ekonomi dan sosial rakyat pantai timur, dari Gemuruh hingga ke sempadan Kelantan.

          Kelewatan ini dianggap lambang nyata diskriminasi pembangunan wilayah.

          5. Reformasi Federalisme: Kearah Sistem Agihan Kalis Politik

            Isu kelima menjadi kesimpulan besar kepada semua persoalan, keperluan mendesak untuk reformasi sistem federalisme di Malaysia.

            Ramai ADUN menegaskan bahawa gangguan terhadap peruntukan, kelewatan projek dan ketidakadilan agihan semuanya berpunca daripada federalisme yang tidak adil dan partisan.

            Mereka mencadangkan agar Malaysia mengamalkan cooperative federalism, sistem di mana pusat dan negeri bekerjasama dalam semangat saling menghormati, bukan mengawal antara satu sama lain.

            Cadangan paling menarik ialah supaya diwujudkan sistem agihan negeri yang kalis perubahan politik di mana pertukaran kerajaan tidak akan menjejaskan bantuan, dana atau royalti negeri.

            “Kalau bertukar kerajaan 15 kali seminggu pun, negeri tak boleh dijadikan mangsa,” kata seorang ADUN, disambut gelak kecil tetapi sarat dengan makna sinis.

            Sindiran turut dilemparkan kepada kepimpinan persekutuan.

            “Jangan jadi macam Trump ugut Mamdani, dan jangan jadi macam Madani ugut Tranung.” Ujaran itu menjadi simbol ketegasan Terengganu yang tidak mahu lagi tunduk pada tekanan politik.

            Kesimpulan: Terengganu Bangkit Dengan Suara Diri

            Sidang DUN kali ini memperlihatkan Terengganu bukan lagi negeri yang hanya menunggu belas kasihan pusat.

            Ia negeri yang sedar akan hak, berani menuntut dan mahu memperbetulkan sejarah panjang ketidakadilan fiskal.

            Lima isu besar ini, petroleum, REE, FELDA, LPT3, dan federalisme bukan sekadar retorik politik, tetapi manifesto kedaulatan negeri yang mahu berdiri di atas kaki sendiri.

            Terengganu, dengan sumber alam yang kaya dan rakyat yang berprinsip, sedang mengorak langkah baharu ke arah ekonomi berdaulat dan politik bermaruah.

            Dan jika semangat ini berterusan, sejarah mungkin akan menulis bahawa dari pantai timur inilah lahir gelombang reformasi sebenar, reformasi yang menuntut keadilan antara negeri dan pusat, antara hak dan kuasa.

            Terengganu