Kisah kejahatan musuh PAS menyekat kerajaan yang ditadbir oleh PAS, sudah dimaklumi dan dihafal senarai kekejaman mereka itu oleh rakyat.
Akan tetapi ramai yang masih tidak menyedari Terengganu yang mempunyai peratusan tertinggi penduduk Melayu Islam, tidak mendapat agihan kerusi parlimen dan Dun, berkadar dengan jumlah populasi.
Pada 1959, apabila PRU kedua diadakan (PRU pertama pada 1955). Terengganu mempunyai 24 kerusi Dun dengan enam kawasan parlimen.
Kemudian, ia kekal sehingga PRU-5 iaitu 1974, cadangan persempadanan semula telah diluluskan dan digunakan.
Terengganu mendapat satu kerusi parlimen, Kuala Nerus dengan empat kerusi Dun, menjadikan semuanya tujuh parlimen dan 28 Dun.
Parlimen Marang diperkenalkan buat pertama kalinya pada 1986 selepas diluluskan dalam tahun 1984, menjadikan tambahan empat lagi kerusi Dun, maka keseluruhan 32 kerusi Dun dan lapan kawasan parlimen dipertandingkan pada waktu itu.
Dan itulah kali terakhir, Terengganu menerima pertambahan kerusi bagi kedua-dua parlimen dan Dun, kekal dengan jumlah itu sehingga hari ini.
Yang ada selepas itu hanyalah persempadanan semula yang menukar PDM dan nama Dun seperti Mercang menjadi Rantau Abang, Binjai menjadi Pengkalan Berangan, Serada kepada Alor Limbat, Buluh Gading menggantikan Teluk Pasu.
Dengan pertambahan bilangan pengundi yang telah dikumpulkan semenjak hampir 40 tahun lalu, menjadikan masalah pengurusan untuk keperluan rakyat, menekan Adun-Adun terutama semasa PAS menjadi pembangkang kerana tidak diberikan peruntukan.
Ini bukan isu kecil kerana negeri-negeri lain ada pertambahan yang munasabah berkadar dengan pertambahan penduduk setiap dua penggal, tetapi tidak bagi Terengganu.
Peraturan pilihanraya menetapkan, dibenarkan membuat cadangan untuk persempadanan semula kawasan-kawasan parlimen dan Dun setiap lapan tahun.
Cadangan ini mestilah disokong majoriti dua pertiga Ahli Parlimen untuk kerusi parlimen atau Adun untuk kerusi Dun.
Setelah dicadangkan lakaran sempadan, SPR akan membuat sempadan yang mungkin berlainan sebelum dibuka bagi bantahan.
Jika tiada bantahan, maka ia akan dibawa ke Dun atau parlimen untuk usulkan, dibahas dan diwarta sebagai kawasan pilihanraya yang sah pada penggal seterusnya.
Persoalannya, mengapakah halangan ini berlaku kepada Terengganu?
Kerana Terengganu adalah negeri Melayu Islam dan kaya dengan hasil petroleum.
Keduanya yang paling penting, selain Kelantan, Terengganu mempunyai ramai penyokong PAS.
Umno takut Terengganu kembali ke tangan PAS, setelah mereka merampas Terengganu dengan membeli Adun PAS pada tahun 1961.
Apatah lagi kekayaan negeri nanti akan diurus oleh PAS.
Buktinya pada tahun 2000, mereka menyekat royalti kepada Terengganu.
Pada tahun 2002, semasa PAS menjadi kerajaan, telah berlaku cadangan persempadanan semula oleh SPR yang menurut Dato’ Mustafa Ali, sempadan baharu itu jelas memberikan kelebihan kepada Umno (https://www.malaysiakini.com/news/12503).
PAS tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak dilibatkan dalam persempadanan semula.
Hanya mampu membantah, tetapi keputusan akhir, ia diluluskan pada 2003.
PAS Terengganu kalah dengan kebanjiran pengundi yang meragukan pada 2004.
Oleh itu, walaupun hasrat SPR untuk mempuratakan populasi setiap parlimen seramai 50 ribu orang, tidak berlaku di Terengganu waktu itu.
Sebaliknya ada parlimen yang mempunyai hanya 30 ribu pengundi seperti yang berlaku di Johor, Sarawak dan Sabah, yang mana diketahui negeri-negeri itu ialah ‘fixed deposite’ untuk BN.
Di Terengganu, ada parlimen memcecah ratusan ribu.
Pada tahun 2018, BN Terengganu cuba mencadangkan persempadanan semula dengan penambahan kerusi, namun ia jelas dilihat sebagai satu usaha untuk menambah bilangan kerusi Umno dan PAS tidak bersetuju dengan cadangan itu di mana BN tidak mempunyai dua pertiga kerusi di Dun pada penggal itu.
SPR kemudiannya mencadangkan persempadanan semula tanpa penambahan kerusi yang akhirnya tidak dilaksanakan.
Untuk rekod, SPR telah dikirtik hebat oleh beberapa NGO kerana isu malaportionment (pembahagian tidak sekata) dan gerrymendering (pengolahan sempadan kawasan mengundi – rujuk foto) bagi tujuan memenangkan parti pemerintah, kerana menurut NGO itu, BN atau Perikatan sentiasa berjaya menambah kerusi selepas setiap kali persempadanan semula.
Kali ini, PAS bercadang untuk menambah sebanyak sembilan lagi kerusi Dun yang baharu dengan setiap parlimen mendapat satu tambahan Dun, kecuali Kuala Terengganu diberikan dua Dun.
Dun-Dun yang bertindih pusat pentadbiran di daerah berbeza akan dikurangkan seminima mungkin bagi memudahkan urusan berkenaan tanah dan pembangunan-pembangunan lain akan mengikut daerah-daerah di kawasan parlimen.
Insyaallah dengan adanya cadangan penambahan kerusi ini, akan memberikan ruang kepada wakil-wakil rakyat untuk memberi khidmat yang lebih baik dan efisyen kepada rakyat.
Dan hak negeri Melayu Islam paling ramai ini dikembalikan agar lebih wakil dalam Dun dan insyaalah dengan adanya penambahan kerusi ini, ia akan memberikan peluang lebih cerah untuk ditambah juga kerusi parlimen untuk dibawa suara majoriti Melayu Islam ke parlimen.
Mohd Nasir Abdullah

