Kenyataan Pengarah Pilihanraya PAS bagi PRN Johor merangkap MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi (DSMS) amat menarik difikirkan.
Beliau berpendapat bahawa untuk stabilkan politik sesebuah negeri maka perlu dikurangkan kerusi UMNO.
Hujah beliau berdasarkan kestabilan kerajaan di negeri-negeri di mana UMNO hanya mempunyai kerusi yang sedikit seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Adapun di negeri UMNO banyak kerusi seperti Perak, Melaka dan Johor, kerajaan menjadi tidak stabil, goyang dan berkecamuk kerana perebutan kerusi di kalangan mereka.
Kenyataan tersebut kelihatan seolah-olah PAS menyerang UMNO tetapi tidak kerana itulah realiti apabila UMNO bergerak solo.
Pertandingan 3 penjuru atau lebih terpaksa berlaku dan UMNO tentu sudah maklum tentang pertembungan hujah kempen dalam pertandingan.
Apabila UMNO memilih untuk bergerak solo (walaupun sebenarnya dalam kolam BN), bermakna suaranya sama dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang lebih awal menyatakan akan bertanding semua kerusi di Terengganu.
Bergerak solo bererti bertembung dengan PAS.
Apabila berlaku pertembungan, sudah tentulah PAS berkempen untuk memenangkan PAS.
Takkan PAS nak neutral atau membiarkan diri dibalun oleh UMNO macam ayam patah taji.
Kenyataan DSMS bukan bermakna PAS telah memutuskan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.
Kalaulah kenyataan itu menjadi logika bagi UMNO, maka PAS juga boleh mendakwa UMNO telah lama memutuskan hubungan dengan PAS kerana sudah banyak kali pemimpin mereka menyerang PAS dan menyatakan untuk bergerak solo, yang bermaksud melakukan pertembungan dengan PAS.
Hakikatnya sehingga kini PAS masih mengharapkan UMNO sama-sama memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).
Seperti kata DSMS, UMNO jangan berhati tisu.
Dalam perlawanan di medan demokrasi, UMNO jangan mudah koyak apabila berhadapan dengan hujah-hujah pihak lawan.
UMNO sudah banyak kali menyerang PAS.
PAS diam, berlapang dada dan tidak membalas.
Takkan UMNO sekali diserang terus koyak, hilang punca dan pedoman.
Untuk mendisiplinkan UMNO, sewajarnya rakyat mematahkan kaki itik tersebut sekali lagi.
UMNO yang kuat akan menjadikan negeri dan negara tidak stabil.
Akan berlaku perebutan kuasa sesama mereka apabila UMNO kuat seperti yang pernah berlaku di Perak dan di Melaka.
UMNO akan menolak penyatuan ummah apabila itik air itu mampu berdiri dengan sendiri di dalam kolamnya.
UMNO yang kuat hanya melahirkan ego politik dan politik lupa daratan.
Justeru, mulai sekarang hingga PRU15 nanti, gelombang rakyat perlu digerakkan atas nama solidariti ‘Tolak UMNO’.
Semua lapisan rakyat termasuk pengundi-pengundi baru berusia 18 tahun perlu diberi kesedaran tentang bahayanya politik UMNO terhadap usaha penyatuan ummah dan kestabilan negara.
Netizen, cybertroopers dan facebookers perlu menyemarakkan tulisan, komen dan hastag ‘Tolak UMNO’ secara bersepadu.
Bagi DSMS, jika UMNO hanya menang 5 kerusi di Johor, nada dan sikap UMNO terhadap MN akan berubah.
Usahkan di bahu PAS, di bahu BERSATU pun, itik yang patah kaki sanggup bergayut untuk dipapah.
Mendisiplinkan UMNO dengan cara meminimumkan kemenangannya bukan bermakna menolak UMNO secara total.
UMNO perlu didisiplinkan agar tidak ego dan mementingkan diri.
Kalaulah patah kaki menjadikan itik pandai berkawan, maka rakyat perlu mematahkan kakinya sekali lagi agar ramai dapat berkawan dengannya dalam satu kolam.