Tuan Pengarang,
Tujuh tahun yang lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno membuat pendedahan menggemparkan mengenai Datuk Seri Najib Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Akibat pendedahan itu, Muhyiddin terpaksa ‘membayar harga yang mahal’ apabila disingkirkan daripada jawatannya dalam kerajaan dan juga parti yang disertainya sebagai ahli biasa pada 1971.
Ahli Parlimen Pagoh itu dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2015, serentak pemecatannya sebagai orang nombor dua dalam UMNO, sedangkan hanya selangkah sahaja untuk beliau menjadi orang paling berkuasa di Malaysia jika ‘berdiam diri’.
Namun, Muhyiddin memilih untuk bersuara walaupun sedar risiko beliau mungkin ‘ditendang’ keluar daripada lingkungan kuasa parti paling dominan dalam negara kita.
Namun, takdir Allah sudah menentukan, lima tahun kemudian beliau kembali semula ke Putrajaya dan dilantik mengisi kerusi hiraki tertinggi dalam kerajaan sebagai Perdana Menteri pada 2020.
Beliau kembali dikunjungi kenalan-kenalan dalam bekas partinya, diminta campur tangan dalam proses kehakiman untuk membantu melepaskan mereka yang digelar ‘kluster mahkamah’, termasuk Najib sendiri.
Namun, Muhyiddin tidak melayan permintaan itu dan akibatnya, sekali lagi beliau tersingkir pada Ogos 2022 apabila kelompok Umno yang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajuinya, memilih menarik sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri.
Pada 23 Ogos lalu, Najib yang pernah menjadi rakan sebelum bertukar menjadi lawan Muhyiddin mengetahui nasibnya dan dihantar ke penjara, mencipta sejarah sebagai bekas Perdana Menteri pertama Malaysia meringkuk di sebalik tirai besi.
Keputusan mahkamah itu membuktikan apa yang didedahkan oleh Muhyiddin pada 2015 mengenai skandal Najib dan 1MDB yang kemudian menemui pelbagai lagi salah laku termasuk berkaitan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), terbukti benar.
Sembilan hakim kesemuanya, masing-masing seorang di Mahkamah Tinggi, tiga di Mahkamah Rayuan dan lima di Mahkamah Persekutuan termasuk Ketua Hakim Negara mendapati Najib bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC.
Muhyiddin patut dipuji kerana beliaulah orang pertama yang berani melawan ‘bos’ dalam parti dan Jemaah Menteri yang dianggotainya, berani membuat pendedahan mengenai penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB.
Sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri, sosok beliau banyak membantu menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2018 yang kemudian menyaksikan Najib didakwa dan seterusnya dihukum atas kesalahan menyeleweng, rasuah dan salah guna kuasa.
Pendiriannya yang tegas menentang campur tangan dalam sistem kehakiman negara, membantu memastikan keadilan ditegakkan walaupun beliau sedar ia membuka risiko untuknya hilang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Hakikatnya, pengorbanan Muhyiddin memberi manfaat kepada rakyat dan negara, fakta itu harus diakui ketika kita bersiap sedia untuk sekali lagi berhadapan pilihan raya.
Mohd Hilmi Abdul Latiff