Heboh berkenaan tuntutan oleh Umno Jabi berkenaan Kompleks Sukan Jabi yang didakwa mereka, ia adalah hasil daripada usaha dan idea mereka sewaktu berkuasa dahulu.
Malang sekali, sebelum sempat menyempurnakannya BN kalah di Terengganu hasil daripada kebencian rakyat yang meluap-luap terhadap Umno yang sentiasa berkelahi sesama sendiri, sekian lama mengugut rakyat, suka menyekat peruntukan kepada yang berhak dan gagal menguruskan negeri dengan senarai panjang kegagalan projek-projek yang mereka rancang atau buat.
Kata bekas Adun Jabi, Iskandar Jaafar, jika tidak kerana usaha BN dahulu, maka kompleks itu tidak akan ada.
Saya tersenyum mendengar belitan lidah biawak pimpinan Umno ini.
Isu kompleks sukan ini sama seperti mana-mana projek ad-hoc Umno dekat dengan PRU, pecah tanah, lepas tu, tinggal.
Lalu teringat berkenaan kegagalan BN menyediakan unit ATM di Pekan Jabi selama dia berkuasa.
Sedangkan apabila Dr Azman menyandang jawatan Adun, elok saja, Agrobank memberikan kerjasama menyediakan mesin itu.
Malahan transaksi harian dilaporkan sangat besar.
Kompleks ini sama seperti projek-projek biawak hidup yang gagal, kemudian terpaksa disiapkan oleh Kerajaan Negeri pimpinan PAS.
Selepas itu buat-buat bodoh bertanya, mana pembangunan yang PAS buat?
Kemudian disindirnya Dr Azman, ATM pun jer, sampai buat majlis perasmian.
Macam budak-budak, bila kalah, pakat ‘tonyer’ (jelir lidah dengan memek muka).
Asal rancangan Kompleks Sukan (KBS) ini, tidak dinafikan dibuat oleh Umno.
PAS tiada masa mahu menuntut itu semua.
Malangnya, projek itu kemudiannya mahu dibatalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan di bawah Syed Saddiq, Kerajaan PH yang menjadi teman setiduran Umno sekarang.
Maka, Exco Kerajaan PAS Terengganu memulakan perbincangan semula bagi KBS menyambung kembali projek itu.
Ia dipersetujui KBS, tetapi dengan kos yang lebih rendah.
Trek larian dibuang dan termasuklah beberapa benda lain lagi.
Sehinggalah tinggal hanya padang bola serta astaka sahaja.
Mengambil jalan terbaik untuk rakyat Jabi, Kerajaan Negeri kemudiannya memutuskan, daripada tiada, baiklah ada, walaupun banyak kurangnya.
Jadi projek Kompleks Sukan Jabi diteruskan dengan pengurangan fasiliti yang banyak.
Dalam menyiapkan Kompleks itu, berbagai halangan birokrasi, telah dipermudahkan Kerajaan Negeri dengan membantu apa sahaja kehendak projek tersebut seperti mengubah status tanah, menyediakan jalan dan fasiliti yang lain.
Adapun segala belanja, bajet penuh kepada projek Kompleks Sukan Jabi itu adalah seratus peratus di bawah Kerajaan Pusat.
Oleh kerana isu ini sudah tular dengan dakwaan orang ramai yang Kompleks Sukan Jabi ini tidak sepadan dengan belanjanya, sehingga ada yang menuduh Adun Jabi turut terilbat dalam penyelewengan, maka sukalah saya ingin mendengar penjelasan mantan Adun Jabi, Iskandar, adakah masih mahu ‘claim’ ini projek Umno?
Jika mahu, sila bertanggungjawab dengan tuduhan rakyat yang Kompleks Sukan Jabi berjumlah RM6.2 juta ini tidak sepadan dengan fasilitinya.
Kalau setuju, sila nyatakan kenapa ia tidak sepadan, kemudian, ambillah ‘claim’ itu untuk Umno Jabi, PAS tak nak dan tak pernah ‘claim’pun.
Alah, sama macam isu pembangunan yang lainlah, nak ‘claim’ itu, nak ‘calim’ ini kata BN yang buat dahulu.
Tetapi bila bab hutang negeri dekat RM1 bilion tu, tak nak ‘claim’ sekali kata itupun BN yang buat.
Sekarang, strategi Umno kelihatannya seperti bila rakyat Terengganu tahu pembohongan mereka, Umno akan sebarkan ke media luar Terengganu bagi mendapatkan sokongan dan kebencian rakyat luar Terengganu yang tidak tahu menahu.
Sama macam isu tanah, nun, dari Kuala Lumpur Lokman Adam sibuk mengulas, padahal tak tahu pun kata mana lokasi tanah.
Oh ya, dimaklumkan bajet asal kompleks ini ialah RM18 juta, betul ke Umno Jabi?
Sian Pocik Man, panas tu…. Dr Azman Ibrahim itang kang kekgi.
Mohd Nasir Abdullah