Boikot : Ada Fakta Tertinggal? Mengintai Dari Sudut Pandang Berbeza

Boikot : Ada Fakta Tertinggal? Mengintai Dari Sudut Pandang Berbeza

Saya berkeyakinan bahawa isu ini menjadi semakin merebak setelah pengakuan dari pihak McDonald’s Malaysia yang mereka ada membayar royalti bagi menggunakan nama francais itu.

Sebelum ini banyak kali mereka menafikan keterlibatan mereka dengan McDonald’s Amerika.

Kata mereka ia adalah entiti yang berasingan, tiada kena mengena langsung.

Tetapi bagi yang tahu sistem francais ini, tidak mempercayainya kerana pastinya tidak boleh digunakan seenaknya nama McDonald’s itu tanpa membayarnya.

Saya tidak katakan McDonald’s Malaysia menyumbang kepada musuh Islam.

Jika ada yang masih ingat, sekitar tahun 2008, McDonald’s telah membawa kes ke mahkamah berkaitan penggunaan nama yang bagi mereka hampir sama iaitu McCurry yang sebenarnya menggunakan ringkasan Malaysian Chicken Curry.

Namun bagi McDonald’s, nama Mc itu adalah hak mereka, ditambah dengan warna tanda niaga juga hampir sama.

Sedangkan menu yang dihidangkan amat berbeza, burger dan kari.

Akhirnya McCurry menang setelah merayu terhadap keputusan pertama yang mereka kalah.

Jadi mana mungkin McDonald’s Malaysia tidak membayar apa-apa kepada McDonald’s Amerika, sedangkan di sini mereka menyaman sesiapa yang cuba menggunakan nama Mc sahaja walaupun tanpa Donald’s.

Ada yang mengatakan berita mengenai keterlibatan McDonald’s Malaysia dengan kekejaman di Pales-tin adalah fitnah semata-mata.

Kemudian katanya jika berita itu fitnah, maka jangan boikot.

Kenyataan ini saya kurang faham. Sepatutnya begini, jika sesuatu berita itu fitnah, jangan kita sebarkan.

Tetapi bagi sesetengah pihak, apabila sudah ada pengakuan pembayaran itu oleh tuan badan sendiri, maka ia bukan fitnah lagi.

Maka di sini akan timbul isu lain iaitu, membeli di McDonald’s ada orang merasa syubhah kerana takut duit itu digunakan untuk kepentingan musuh Islam.

Jadi jika tidak pasti berkenaan itu, ada yang fikir lebih baik jangan beli, kerana mengelak syubhah itu adalah sikap bertaqwa.

Salahkah sisi pandang pelanggan sebegitu?

Ke mana hilang badut McDonald’s

Oleh kerana pengakuan ini, maka kepercayaan rakyat yang mahu memboikot, semakin menebal mempercayai mungkin banyak lagi perkara yang terselindung.

Bayangkan jika mahu mendapatkan lesen francais, mereka mesti membayar jutaan ringgit.

Manakala kajian lapangan sebelum membuka sesebuah cawangan McDonald’s dilakukan dengan begitu teliti sekali.

Berapa kereta yang lalu lalang di situ dalam masa yang ditetapkan, apa prasarana berdekatan dan bermacam-macam lagi.

Menunjukkan sesiapa yang melabur dalam francais ini, hampir pasti mendapat keuntungan besar kerana mereka akan membukanya hanya di tempat yang strategik dan untung sahaja.

Apabila boikot berlaku, kesannya sangat teruk.

Pastilah tuan punya kedai yang terpaling teruk, walaupun dikatakan pekerja yang ramai terjejas.

Namun pekerja yang terjejas, tidak akan kehilangan jutaan ringgit seperti empunya.

Kekuatan boikot itu telah menyebabkan maskot McDonald’s, Ronald Mc Donald, tidak lagi digunakan sehingga kini kerana pemboikot berjaya memberikan gambaran badut itu sebagai watak pembunuh kejam, sehingga menjadi ketakutan bagi kanak-kanak.

Ada juga orang berkata, kalaupun betul ia diberikan kepada musuh wang royalti itu oleh McDonald’s Amerika, jumlahnya itu teramatlah sedikit, tiada kesan.

Lagilah saya kurang faham dengan kenyataan ini kerana jika sudah dikatakan beri kepada musuh untuk memusnahkan Islam, maka jelaslah ia haram.

Arak, walau setitik, kekal hukumnya haram.

Bukan kerana banyak atau sedikit arak itu, atau mabuk mahupun tidak.

Ia kerana sifat asal arak itu diharamkan Allah.

Saya bukan menuduh memang McDonald’s Malaysia memberikan dana kepada musuh Islam, tetapi kenyataan mereka yang kata tidak mengapa kerana sedikit sahaja, itu tidak tepat.

Atas kemampuan

Ada yang bertanya, kenapa hanya McDonald’s yang diboikot?

Ya betul sepatutnya semua sekali, termasuklah rokok.

Ada juga yang tidak bersetuju boikot McDonald’s, tetapi masih guna FB, iPhone, Intel, HP dan sebagainya.

Boikot mana mampu. Jawapan yang diberikan jika tidak mampu buat semua, jangan tinggal semua, tidak memuaskan hati orang.

Tetapi ada hadis menyebut berkenan hikmah atau kebijaksanaan itu adalah barang muslim yang tercicir.

Jika kita berjumpa, kita boleh mengambilnya.

Semua teknologi itu adalah keperluan bagi zaman sekarang.

Berbanding memakan burger dan air berkarbonat serta kentang goreng yang tidak menyihatkan itu, mana satu yang dipanggil hikmah?

Tetapi bagi yang kaki fitnah, suka membazir masa dengan media sosial, lebih baik boikot, kerana tiada faedah dan hanya menguntungkan musuh sahaja.

Ada juga mengatakan yang Rasulullah juga berurus niaga dengan yahudi, bagi menunjukkan keharusan muamalat dengan kaum itu.

Ya benar sekali, Rasulullah malah pernah berhutang dengan mereka.

Tetapi sila juga perhati kejadian di Khaibar, iaitu Rasulullah memusnahkan hampir semua tanaman di sekeliling Kota Khaibar sewaktu mengepungnya bagi memutuskan bekalan makanan Yahudi yang tinggal di dalamnya dan Rasulullah berjaya menawan kota itu.

Tiada urusniaga dengan musuh sewaktu perang.

Apakah itu bukan contoh dari Rasulullah?

Dan sekarang ini adakah waktu bertenang bermain polis sentri atau waktu perang yang membunuh antara Pales-tin dan mereka?

Perdebatan lain yang sempat saya baca ialah McDonald’s ada cawangan di Mekah dan Madinah.

Rasanya tidak berapa kuat hujah ini kerana banyak perniagaan dan beberapa hotel kepunyaan Yahudi juga ada di tanah haram.

Kenapa tidak buat jenama lain?

Kesimpulannya bagi saya, cerita berkenaan McDonald’s membayar jutaan wang zakat, menyumbang kepada Pales-tin, menyediakan pekerjaan kepada belasan ribu orang di Malaysia, masih gagal menarik kepercayaan majoriti umat Islam di Malaysia kerana isu yang mula-mula saya sebutkan di atas, McDonald’s mengaku membayar kepada McDonald’s Amerika kerana menggunakan nama mereka.

Inilah yang menjadi kebimbangan ramai yang duit mereka juga mungkin akan ke sana.

Walaupun dinafikan, apa jaminan ia tidak berlaku bila wang kita sudah berada di tangan mereka.

Yang pasti tidak berlaku sumbangan dana kepada musuh ialah apabila wang kita kekal dalam poket kita.

Sama macam berhutang, kalau bagi, mungkin boleh hilang wang, boleh hilang kawan.

Kalau tidak bagi, ia kekal dalam poket kita.

Bagaimana jika McDonald’s Malaysia, membuat penjenamaan semula tidak lagi menggunakan nama McDonald’s itu?

Duit keuntungan McDonald’s Malaysia yang begitu banyak, pasti boleh menampung kos ‘rebranding’ ini yang hanya sekali dilakukan.

Pasti banyak kebaikannya.

Yang utama, tidak perlu membayar apa-apa kepada McDonald’s yang mana menjadi kebencian utama umat Islam dalam isu ini.

Ini adalah amalan biasa perniagaan jika mengalami masalah jenama dan sebagainya.

Mengapa perlu guna nama itu yang dibenci orang lagi?

Buat kerjasama dengan Ramly Burger sebagai contoh.

Kedua, pasti akan mendapat keuntungan berlipat ganda kerana tidak akan diboikot lagi selepas ini walau perang berlanjutan.

Yang penting, sudah ada sistem sendiri, bekalannya sendiri kerana kata mereka, mereka bayar kerana guna nama sahaja.

Tetapi kalau ia masih tidak dibenarkan oleh McDonald’s Amerika, walaupun dikatakan sudah tiada hubungan, kita takut masih ada lagi keterikatan kontrak yang lain, bukan hanya royalti nama sahaja.

Alah lagipun asas McDonald’s adalah hasil penipuan Ray Kroc terhadap dua rakan kongsinya sehingga berjaya mengambilalih jenama ini dan kemudian menipu lagi dengan tidak membayar royalti selepas guna nama itu yang dikatakan berjumlah lebih 100 juta Dolar US.

*Saya bukan mahu melawan mufti atau mana-mana agamawan yang menolak boikot kerana ada agamawan lain yang bersetuju memboikot, saya mengikut mereka. Ini adalah sisi pandang saya sahaja.

*McDonald’s tidak hanya menjual burger, sebenarnya mereka melakukan urusniaga hartanah.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis