Segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Bersyukurlah kita sentiasa dan bersangka baik kepada Allah atas segala takdir yang Dia telah tetapkan kepada kita.
Kita manusia yang lemah, sentiasa mengharapkan Allah untuk melakukan sesuatu yang terbaik.
Tiada daya dan upaya, melainkan dengan kehendakNya.
Ilmu menerima ketentuan takdir baik buruk ini, bukan satu ilmu yang hanya disebut di mulut sahaja. Tidak akan menjadi.
Tetapi ilmu ini adalah sekali dengan praktikal dan diuji Allah.
Kekuatan pengamal ilmu ini sudah tentulah dari kalangan ulamak.
Mereka sentiasa reda dengan apa sahaja yang didatangkan oleh Allah.
Jika mereka merasa lemah, maka akan ada rakan mereka yang akan menguatkan jiwa sesama mereka.
Akan ada dilantunkan ayat-ayat al-Quran dan pesanan dari hadis-hadis agar ujian itu menjadi penghibur atau difahami sebagai satu cara Allah mahu mengangkat martabat hambaNya.
Kisah kewafatan Rasulullah menjadi misalnya, ketika Umar tidak dapat mengawal perasaannya, Abu Bakar bangun, menyedarkan umat akan Rasullah juga manusia yang akan mati.
Ulamak Meneraju PAS
PAS sangat bertuah kerana mempunyai sejumlah besar ulamak yang berpendidikan tinggi dan beramal dengan ilmunya bagi menerajui jemaah.
Tidak dinafikan ada juga yang kelas rendah dan sederhana.
Tetapi jumlah ulamak PAS, insya Allah tidak memungkin mereka berpakat membawa manusia ke jalan dosa, noda ataupun neraka.
Mereka membuka kelas-kelas pengajian bagi mendidik masyarakat berkenaan perlunya kembali kepada agama Allah.
Mereka yang menggerakkan sedekah bagi melicinkan aktiviti-aktiviti keagamaan.
Mereka tidak mengambil upah secara sebagaimana kebiasaan orang yang tidak sedikit melihat jalan Pendidikan ini adalah jalan yang melimpahkan wang emas.
Mereka lebih suka sederhana dengan membantu manusia.
Mereka mengamalkan cara hidup ini kerana percaya kepada takdir yang rezeki dari Allah.
Dia telah menjanjikan hak rezeki semua makhluknya, tanpa kita tidak perlu sehingga mahu meninggalkan ibadat akibat kegilaan mencari duit.
Pun begitu ramai juga ulamak PAS yang ditakdirkan Allah kaya, sebagaimana sahabat, ada yang kaya, ada yang miskin.
Apabila mereka mendapat kemenangan dalam PRU dan menjadi ‘orang besar’, mereka menginfakkan sebahagian gaji mereka kepada tabung jemaah. Ini adalah wajib bagi semua.
Kegiatan jemaah dalam mendekati masyarakat sehinggakan berhabis duit kerana mahu memberikan yang terbaik kepada masyarakat dengan peruntukan mereka disekat oleh musuh.
Pernah mereka dengan izin Allah ditakdirkan mendapat beberapa negeri untuk diperintah.
Maka dijalankan segala keupayaan untuk menegakkan hukum Allah di dalam negeri itu, tanpa mempedulikan hinaan, cacian, ugutan dari musuh.
Keseorangan, tiada teman dalam menegakkan agama Allah. Akan tetapi kewajipan, tetap dituntut oleh agama.
Maka mereka bangun dan melakukan apa yang terdaya oleh mereka.
Tiada pendapatan setelah dirampas hak mereka.
Ada yang selepas kalah, terpaksa menjual harta benda dan dalam keadaan berhutang kerana mahu memenuhi keperluan rakyat.
Bergembira musuh dengan kekurangan PAS setelah mereka merompaknya.
Hajat Hati Nak Peluk Gunung, Apakan Daya…
Jauh di sudut hati, tersangat ingin mereka membangunkan negeri menurut kepakaran mereka dengan peruntukan yang tidak disekat, terus kepada mereka.
Apakan daya, takdir Allah mengatasi semuanya.
Segala harapan berkecai, tidak dapat berbuat apa-apa hanya mengharapkan ihsan perancangan dari Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek bagi kemudahan rakyat.
Namun banyak janji yang tinggal janji.
Projek yang dimaklumkan pusat akan dijalankan di Terengganu, tiada datang ia.
Yang ada hanyalah projek membesarkan pagar sekolah.
Wang dimasukkan terus ke Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), tanpa singgah ke kantung Kerajaan Negeri.
Namun begitu, rekod kemiskinan yang direkodkan sebagai kedua termiskin sebelum PAS mengambil alih, kemudiannya cartanya menaik menjadi negeri ke-4 termiskin.
Sungguh, tiada apa yang boleh dilakukan sangat oleh PAS waktu itu.
Kesengsaraan yang ditimpakan oleh musuh kepada PAS, tidak lain hanyalah kerana dendam politik.
Tiada dosa lain oleh PAS. Ia juga sekaligus memberikan kesan kepada rakyat.
PAS kemudiannya dimomokkan kononnya sebagai gagal dalam pemerintahan.
Namun data menunjukkan undi PAS pada 2004, tidak berkurang dengan drastik, hampir sama dengan tahun 1999.
Tetapi kehadiran undi yang mendadak jumlahnya entah dari mana, memenangkan BN.
Jika Ditakdir Allah, PAS Buat Semua Ini
Cuba kita lihat semula kepada takdir ini.
Jika PAS berjaya membuat projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, tetapi bersama dengan hakisan yang dahsyat sekarang ini, apa yang rakyat kata kepada PAS.
Jika PAS berjaya menjayakan projek LPT2 yang lambat sehingga 10 tahun dan memakan modal sekali ganda, guna duit royalti, sehingga RM4 bilion, apa pula kutukan manusia kepada PAS?
Jika Taman Tamadun Islam yang bocor atap masjidnya, monumen yang rosak sehingga memerlukan jutaan ringgit lain pula untuk dipulihkan, apa cacian rakyat Terengganu kepada PAS.
Atau Monsun Cup yang memerlukan belanja RM300 juta setahun itu, adalah anjuran PAS, agaknya apa yang disumpah oleh rakyat kepada PAS.
Belum lagi dikira Kenyir, Taman Ilmu, Jertih Souq, Projek Pertanian yang gagal, bas dua alam, stadium runtuh, makmal runtuh, masjid runtuh serta puluhan lagi runtuhan bangunan baharu yang dibina.
Bayangkan kalau itu ditakdirkan PAS yang buat.
Mungkin juga bencana ini semua adalah doa oleh rakyat yang dikhianati kerana doa orang yang dizalim tiada hijabnya.
PAS takut dengan doa mereka dan sedaya upaya tidak mahu berlaku zalim.
Oleh itu jelas sekali, hikmah yang diperlihatkan Allah kepada seluruh manusia yang beriman, walau kantung penuh, belum tentu bahagia, belum tentu baik, jika hidup tidak dipandu keimanan.
Ia memerlukan suku abad untuk melihat semua ini, bagaimana Allah telah menyelamatkan maruah PAS.
Sebab itu ramai antara mereka yang cuba kaitkan segala masalah sekarang dengan PAS dengan fitnah.
Sehinggakan OKU kena pukul pun, PAS juga yang salah kerana tiada kesalahan lain yang mereka nampak dalam PAS.
Ya Allah kami bersyukur kepada-Mu ya Allah atas limpah kurnia Kau menarik semua kekayaan ini dan dipegang oleh manusia lain kerana tiadalah tanggungjawab kami untuk menjawab di hadapan-Mu nanti.
Tetapi kami yakin Engkau akan memberikannya tepat pada waktu yang sesuai kerana Engkalulah yang maha mengetahui semua rahsia.
Kami akan sentiasa berdoa dan yakin dengan takdirMu. Terima kasih Allah.
Mohd Nasir Abdullah