PMX Bentang Belanjawan 2026 Penuh Wayang Dan Silap Mata?

PMX Bentang Belanjawan 2026 Penuh Wayang Dan Silap Mata?

Jumaat lepas, PMX telah membentangkan Belanjawan 2026.

Ada beberapa perkara baik yang saya tidak nafikan.

Namun, apa yang saya ingin sentuh di sini ialah perkara-perkara kritikal yang perlu kita semua sedar dan fahami.

Belanjawan Terbesar Dalam Sejarah Negara

Belanjawan kali ini merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Walaupun PMX mengumumkan bahawa perbelanjaan terus Kerajaan Persekutuan hanyalah RM419.2 bilion (meliputi belanja mengurus dan belanja pembangunan), namun hakikatnya berbeza.

Bagi menampakkan seolah-olah kerajaan berjaya mengurangkan perbelanjaan dan defisit, sebanyak RM50.8 bilion perbelanjaan telah diswastakan kepada GLC dan GLIC.

Ini bermaksud jumlah sebenar perbelanjaan kerajaan dalam Belanjawan 2026 ialah RM470 bilion, angka yang jauh lebih besar berbanding pentadbiran sebelum ini.

Perbandingannya jelas:

Perdana Menteri Jumlah Belanjawan
Najib Razak RM280.3 bilion
Muhyiddin Yassin RM322.5 bilion
Anwar Ibrahim (PMX) RM470 bilion

Bukankah PMX dan partinya sering mengkritik kerajaan terdahulu kerana berbelanja besar dan tidak berhemah?

Kini, di bawah pentadbirannya sendiri, angka perbelanjaan melonjak lebih tinggi daripada mana-mana kerajaan sebelum ini.

Benarkah Hutang Negara Berkurang?

PMX sering menyebut bahawa beliau berjaya mengurangkan hutang negara. Nampak gah bila disebut.

Penyokong kerajaan pun ramai yang memuji melangit. Tetapi, benarkah begitu?

Hakikatnya, hutang negara masih meningkat setiap tahun.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan, jumlah hutang dan liabiliti negara pada tahun 2022 (sebelum Kerajaan Madani) ialah RM1.399 trilion, meningkat kepada RM1.695 trilion pada 30 Jun 2025.

Ini bermakna, Kerajaan Madani telah menambah hutang baharu sebanyak RM300 bilion dalam tempoh pemerintahannya bersamaan RM111 bilion setahun atau RM10 bilion sebulan!

Kalau begini cara berhutang, boleh bangkrap negara dalam jangka panjang.

Defisit Fiskal: Realiti di Sebalik Angka

PMX juga mendakwa defisit fiskal berjaya dikurangkan, dengan kadar menurun setiap tahun:

Tahun 2022: 5.5%
Tahun 2023: 5.0%
Tahun 2024: 4.1%
Tahun 2025: 3.8% (sasaran)
Tahun 2026: 3.5% (jangkaan)

Nampak cantik di atas kertas.

Tetapi kita perlu faham bahawa defisit fiskal ialah perbandingan antara jumlah defisit nominal (perbelanjaan melebihi hasil) dengan saiz ekonomi negara (KDNK).

Untuk sasaran defisit fiskal tahun 2025, kerajaan menggunakan andaian bahawa KDNK berkembang antara 4.5% hingga 5.5%.

Namun sehingga pertengahan tahun 2025, pertumbuhan sebenar hanya 4.4%, manakala kerajaan telah meminjam sebanyak RM85 bilion setakat Oktober 2025.

Mari kita lihat kiraan mudah:

Hasil: RM340 bilion

Perbelanjaan: RM452 bilion + RM85 bilion = RM537 bilion

Defisit nominal: RM197 bilion

KDNK (4.4%): RM3.602 trilion

Defisit fiskal sebenar: RM197 ÷ RM3.602 × 100 = 5.47%

Jadi, bila PMX kata defisit fiskal tahun 2026 akan turun ke 3.0%, bolehkah kita percaya?

Sedangkan sasaran tahun 2025 pun sudah jauh tersasar daripada realiti sebenar.

Wayang dan Silap Mata Belanjawan

Banyak ‘silap mata’ atau fiscal illusion dilakukan dalam Belanjawan 2026 untuk menunjukkan seolah-olah kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan baik.

Hakikatnya, perbelanjaan sebenar meningkat, hutang bertambah, dan defisit masih tinggi.

Langkah menyembunyikan perbelanjaan di bawah GLC dan GLIC hanyalah satu helah perakaunan untuk menampakkan kerajaan cekap mengurus fiskal.

Sedangkan beban hutang dan tanggungan itu akhirnya tetap akan ditanggung oleh rakyat dan generasi masa depan.

Kesimpulan

Belanjawan 2026 penuh dengan persembahan angka yang kelihatan indah, seolah-olah semuanya terkawal dan stabil.

Tetapi apabila diteliti satu per satu, kita dapat lihat banyak unsur kosmetik dan manipulasi angka dilakukan bagi menutup kelemahan sebenar.

Akhirnya, rakyat juga yang akan menanggung akibatnya.

Ir. Ts. Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff

Ekonomi