Isu penyaluran royalti petroleum kembali menghantui rakyat Terengganu apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan keadaan yang berlaku sejak 2022 sebagai episod hitam yang mencalar hak negeri itu.
Menurut beliau, ketidaktentuan penyaluran royalti yang berlaku sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) pada November 2022 menandakan wujud suatu amalan baharu yang tidak sepatutnya berlaku dalam era pentadbiran moden.
Apa yang lebih dikesali, katanya, ialah apabila kepentingan politik mengatasi kewajipan menunaikan amanah perjanjian antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Berdasarkan rekod, royalti petroleum Terengganu bagi tempoh 2023 hingga 2025 hanya dibenarkan diurus sekitar 50 peratus sahaja oleh kerajaan negeri.
“Ini jelas tidak mengikut perjanjian asal, iaitu pembayaran dibuat dua kali setahun dan disalur terus ke akaun negeri,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Perancangan Negeri Terjejas
Menurut Ahmad Samsuri, situasi itu mengakibatkan kerajaan negeri berdepan kesukaran merancang pembangunan jangka panjang, apatah lagi program yang memberi kesan langsung kepada kebajikan rakyat.
“Sebab itulah kita terus berjuang agar penyaluran royalti dikembalikan kepada amalan asal seperti sebelum 20 November 2022,” ujarnya.
Isu ini kembali menjadi perhatian selepas perbahasan Belanjawan Terengganu 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu, apabila Ahmad Samsuri membuat pendedahan mengenai jumlah royalti yang tidak disalurkan terus.
Dana Tidak Sampai ke Akaun Negeri
Menurut Menteri Besar itu, sebanyak RM1.32 bilion royalti petroleum bagi tahun 2024 dan 2025 tidak disalur ke akaun rasmi kerajaan negeri.
Daripada anggaran keseluruhan RM1.63 bilion untuk tahun ini, Terengganu hanya menerima RM1.08 bilion setakat 2 November lalu, iaitu 66.44 peratus daripada jumlah sepatutnya.
Namun angka itu tidak sepenuhnya mencerminkan aliran masuk ke treasury negeri, kerana daripada jumlah tersebut, hanya RM583.35 juta sahaja disalurkan secara langsung ke akaun negeri.
Ini bermakna 47 peratus daripada keseluruhan royalti, bersamaan RM497 juta masih diuruskan pihak lain dan tidak diterima sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Autonomi Negeri Terjejas
Kelewatan dan perubahan kaedah pembayaran ini, kata Ahmad Samsuri, bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan fiskal, bahkan menjejaskan autonomi negeri dalam mengurus hasilnya sendiri, satu perkara yang dianggap bertentangan dengan prinsip federalisme yang selama ini menjadi tunjang hubungan Persekutuan-Negeri.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperjuangkan hak ini agar nasib rakyat Terengganu terpelihara dan pembangunan dapat digerakkan tanpa gangguan politik.

