Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta PAS menerima dahulu Pan sebelum bercakap mengenai penerimaan Umno terhadap Bersatu.
Katanya PAS perlu membuktikan yang niat PAS bagi menyatukan Melayu Islam adalah ikhlas dengan menerima Pan, ahli serpihan PAS yang keluar parti dahulu, setelah disingkirkan oleh perwakilan PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat.
Bersatu pula, mesti terima Pejuang.
Banyak lagi tuduhan beliau mengenai PAS yang kononnya gila kuasa.
Nada yang sama yang digunakan oleh musuh PAS bagi memberikan persepsi negatif terhadap PAS.
PH adalah paling banyak menimbulkan persepsi gila kuasa ini.
Jika PAS gila kuasa, PAS sepatutnya berkerjasama dengan Umno semasa mereka menjadi kerajaan lama dahulu.
Jika PAS gila kuasa, maka pelawaan PH untuk bersama mereka dahulu pasti dipenuhi PAS.
Mudah untuk difahami begini.
Ibarat Bersatu, isteri, berpecah dari Umno, suami, adalah kerana suaminya dahulu didapati telah menyelewengkan wang.
Sehinggakan, dia telah ditangkap dan dibicarakan.
Telah didapati bersalah buat kali pertama dan sekarang dalam proses rayuan.
Ia melibatkan kes jenayah.
Maka ada lojiknya Bersatu meminta cerai dari Umno.
Mengajak kembali Bersatu kepada Umno adalah sesuatu yang mudah diterima akal kerana mungkin si suami itu sudah mulai insaf.
Maka, demi anak-anak, mereka boleh berbincang bagi penyatuan.
Mungkin selepas ini, keadaan akan menjadi lebih baik.
Apa lagi mahkamah yang mendakwa si suami dahulu adalah mahkamah PH yang si suami kata tidak adil itu.
Masakan mahu bergabung dengan PH sebagaimana dakwaan surat sokongan untuk Anwar menjadi PM itu.
Lagipun, bukankah Anwar juga pernah hampir memusnahkan Umno? Siapa lebih teruk?
Manakala PAS dengan Pan, kesnya berbeza.
Pan sebagai bini melarikan diri, mengikut jantan lain.
Jantan pula si cina buta.
Mereka hidup berselingkuh sebelum itu, dalam rumah PAS.
PAS sudah memberi amaran, namun, mereka masih menjalinkan hubungan sulit.
PAS dapat membuktikan kecurangan itu.
Setelah itu, mereka lari keluar rumah dan barang-barang rumah PAS juga, mahu diambilnya.
Membawa juga beberapa orang anak-anak.
Malah perut dia membusung kerana mengandung anak cina buta tadi.
Maka tidak lama selepas itu, lahirlah beberapa lagi ahli mereka.
Alhamdulillah ramai juga anak-anak yang kembali kepada PAS setelah insaf.
Adakah Nur Jazlan rasa kes ini sama?
Ya sudah pasti sebagai seorang Islam, kita boleh memaafkan kesalahan Pan yang berselingkuh itu, tetapi dengan syarat.
Tinggalkan si cina buta itu, dengar dan patuhlah kepada Presiden PAS, berjalan di atas jalan Islam yang sebenar, maka insyaAllah, tiada halangan.
Sedangkan Umno dahulu, apa yang tidak mereka lakukan kepada PAS, tetaplah PAS menerima untuk penyatuan bagi kepentingan Melayu Islam.
Jadi tidak timbul persamaan yang cuba dibawa oleh Nur Jazlan itu dengan kes mereka dan Bersatu.
Rakyat sudah didedahkan keadaan dalaman Umno yang mana hanya beberapa kerat pimpinan yang berkepentingan sahaja yang mahukan putus hubungan dengan PN.
Manakala jika tidak kuasa veto digunakan sebagaimana dakwaan berita, nescaya, terkontang kantinglah Presiden Umno bersama klusternya, tiada sokongan untuk menentang PN.
Kenyataan ini hanyalah cubaan mengalihkan isu sahaja yang mana masalah dalaman Umno, dan telah mengheret bersama orang lain.
Sebab bukan Tun sahaja yang mengheret pimpinan Umno ke mahkamah ketika PH berkuasa dahulu.
Tetapi beliau bersama DAP, Pan dan juga PKR.
Jadi adakah munasabah marahkan TS Muhyiddin, lantas Umno mahu bekerjasama dengan DAP, PKR dan Pan secara tiba-tiba?
Dan tidak semena-mena, PAS pula yang dimarahi?
Mohd Nasir Abdullah
25 Februari 2021