Mereka Bersatu, Kita Berseteru

Mereka Bersatu, Kita Berseteru

Di Hungary, telah dibenarkan bagi penonton bolasepak memasuki stadium sehingga 61 ribu orang.

Satu keadaan ‘norma baharu’ selepas norma baharu yang lama semenjak setahun lebih yang lalu.

Perlawanan antara tuan rumah Hungary dan Portugal itu telah mengejutkan dunia setelah sekian lama stadium sepi atau hanya sebahagian sahaja penonton dibenarkan masuk kerana pandemik Covid 19.

Diberitakan keberadaan sejumlah besar penonton ini adalah kerana program vaksinasi yang secara agresif yang dilakukan oleh kerajaan Hungary.

Lebih 60 peratus daripada sejumlah 9.8 juta penduduknya telah disuntik vaksin yang diterima dari Russia dan China.

Bukan itu sahaja, kebenaran mesyuarat dalam bangunan tertutup, makan di restoran dan juga pawagam telah dilonggarkan.

Bagaimanapun keputusan ujian PCR yang negatif tetap diwajibkan 72 jam sebelum memasuki stadium.

Di Qatar, ada kira-kira tiga juta penduduk dengan penduduk asal Qatar berjumlah 315 ribu orang.

Daripada itu, program vaksinasi lengkap (dua dos) telah dilakukan terhadap lebih 1.2 juta penduduk.

Manakala lebih 1.6 juta orang lagi telah menerima suntikan pertama mereka.

Maka dalam masa tiga minggu lagi Qatar mungkin berjaya paling kurang menyempurnakan vaksinasi kepada 90 peratus orang penduduknya.

Kes harian sekarang sekitar 150 sahaja.

Kadaan di Qatar sekarang ini agak bebas.

Tiada sekatan jalanraya, kedai-kedai dibuka, boleh juga makan di restoran.

Pun begitu bekerja dari rumah masih dalam peratusan yang tinggi.

Boleh berada dalam kenderaan maksima empat orang.

Masjid-masjid telah dibuka sejak lama dahulu, walaupun masih dalam penjarakan saf.

Tetapi tetap pelitup muka, wajib dipakai.

Amat jauh bezanya dengan Malaysia.

Amat penting bagi Qatar untuk kembali normal seperti dahulu kerana tahun hadapan, mereka akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan paling berprestij di dunia, ‘World Cup 2022’.

Pastinya mereka mahukan keadaan penganjuran yang paling sempurna setelah beberapa isu rasuah yang hampir menghancurkan peluang mereka menjadi tuan rumah.

Pada kami juga rakyat Malaysia yang tinggal di sini, inginkan keadaan seperti sediakala kerana memudahkan kami pulang ke Malaysia tanpa ada kuarantin lagi.

Tetapi bukan ini yang menjadi matlamat utama kita mengambil vaksin.

Bukan kerana mahu menonton ‘World Cup’.

Secara peribadi, saya percaya, bukan hanya dunia yang mahu kita kejar, tetapi lebih utama ialah akhirat.

Kita rindukan suasana majlis ilmu, solat berjemaah, ziarah menziarahi, bersalam salaman yang kini sudah pupus sementara kerana Covid 19.

Sudah banyak airmata ditumpah takala berdoa memohon dinyahkan penyakit ini.

Semua kerana rindu kepada suasana damainya beribadat.

Saya mendapat maklumat daripada beberapa rakan ‘frontliners’ di Malaysia yang menyatakan bahawa kesungguhan kaum lain dalam meyakinkan kaum mereka untuk mengambil vaksin, amatlah memeranjatkan.

Mereka datang dengan dibawa oleh petugas-petugas sukarela mereka.

Membantu sehingga selesai semuanya.

Bukan itu sahaja, malah, mereka juga membuka meja sendiri bagi memudahkan kerja ‘frontliners’ untuk menyelesaikan tugas masing-masing.

Dan paling mengejutkan rakan saya ini ialah mereka terdiri daripada ahli-ahli MCA dan DAP, bersama-sama menyumbang tenaga bagi menjayakan program ini.

Mereka amat menitik beratkan kesihatan dan keselamatan orang mereka tanpa memikirkan parti.

Mengapa ia tidak terjadi kepada bangsa kita?

Tanya rakan saya itu kepada saya.

Saya percaya jawapan untuk itu adalah kerana salah maklumat.

Dengan kematian demi kematian saban hari, mereka masih mengatakan ini adalah konspirasi.

Mereka bertegas mahu masjid dibuka sepenuhnya dan saf solat dirapatkan, tanpa mereka memikirkan kesan jangkitannya.

Walaupun sudah terbukti dengan kematian 15 orang ahli masjid baru-baru ini.

Saya memuji sikap mereka yang mendesak untuk dibukakan rumah ibadat dan beribadat seperti dahulu.

Mungkin kerana tingginya keimanan mereka.

Tetapi saya jadi tidak mengerti apabila bahasa makian, cercaan, ada sehingga mengkafirkan apalagi ulamak kerana semua ini.

Mengambil info-info separuh masak.

Adakah itu hasil didikan Islam?

Sebagaimana yang pernah saya dengar, nasihat guru-guru, jika yang diperah itu limau, maka air limaulah yang keluar.

Tidak mungkin air mangga.

Maka jika hati sudah tidak baik, tiadalah selain caci maki, sumpah seranah adalah perkataan yang lebih sesuai yang keluar dari mulut mereka.

Apakah diajar Islam cara sebegitu?

Apatah lagi yang dibantah itu adalah pandangan ijmak ulamak?

Lebih dari itu ia adalah perintah ulul amri yang mana kerana Covid inilah kedudukan mereka terselamat.

Jika tidak diteruskan vaksin, iaitu mengembalikan keadaan negara sebagaimana asal, mereka masih boleh kekalkan darurat.

Tetapi kerajaan tetap dengan keputusan untuk kebaikan rakyat.

Benarlah firman Allah:

وَكَانَ ٱلۡإِنسَٰنُ أَكۡثَرَ شَيۡءٖ جَدَلٗا

Tetapi manusia adalah memang yang paling banyak membantah.

Surah Al-Kahf, ayat 54

Terima kasih kepada rakan ‘frontliners’ saya yang memberikan maklumat yang sangat baik ini.

Marilah kita sama-sama berusaha dan bertawakkal kepada Allah selepas usaha kita melalui vaksinasi ini.

Semoga Allah angkat ujian ini dan mengembalikan kita kepada keadaan yang sediakala.

Yang bakal mendapat manafaat, umat Islam juga.

Mohd Nasir Abdullah

Kesihatan