Isu MB Kedah v Kedai Nombor Ekor, Pandangan Peguam Sikh

Isu MB Kedah v Kedai Nombor Ekor, Pandangan Peguam Sikh

Saya bukan tinggal di Kedah, dan walau apa pun, saya tidak pernah dan tidak akan membeli nombor ekor.

Jadi, tindakan MB Kedah mengharamkan kedai nombor ekor bagi saya, secara peribadi, bukanlah satu isu.

Jika saya ditanya sebagai seorang peguam apakah hak operator kedai yang telah membuka premis dan berniaga bertahun-tahun lama dengan lesen daripada kerajaan persekutuan tetapi tiba-tiba lesen premis perniagaan mereka ditarik-balik oleh kerajaan tempatan, maka dalam pandangan saya mereka boleh memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan kerajaan tempatan, dan kita biarkan Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan.

Begitu juga dengan hak seorang kaki judi untuk membuat pertaruhan secara sah.

Jika beliau rasa hak beliau dinafikan, beliau juga boleh membuat permohonan yang sama, seperti mana yang dibuat oleh perokok-perokok.
(https://www.sinarharian.com.my/…/Semakan-kehakiman…)

Sama ada Mahkamah Tinggi nak benarkan atau tak, itu soal lain.

Tapi apa yang saya rasa tak seronok, dan membuatkan saya terpaksa masuk campur, adalah tindakan sesetengah pihak yang menyamakan perbuatan berjudi sebagai hak orang bukan Islam, seolah-olah agama bukan Islam tidak melarang perjudian.

Agama Sikh melarang, antara banyak perkara lain, perbuatan bermain judi.

Menurut Article XVI(o) Sikh Rehat Maryada (Kod Etika Orang Sikh):

  • ‘A Sikh should not steal, form dubious associations or engage in gambling.’

‘Seorang Sikh tidak sepatutnya mencuri, membentuk persatuan yang meragukan atau terlibat dalam perjudian.’

Saya percaya semua agama lain, selain Islam dan Sikh, kalau tidak mengharamkan judi, sekurang-kurangnya tidak menggalakkan penganutnya bermain judi.

Hakim Mahkamah Tinggi Sabah & Sarawak, Ian Chin dalam kes The Ritz Hotel Casino Ltd v Datu Seri Osu Hj Sukam (2005) memutuskan bahawa:

  • ‘I can go on with citing from other faiths or religions but I do not think it is necessary as what I have mentioned is enough justification for saying that it is universally accepted that gambling is a vice.’

‘Saya boleh teruskan dengan memetik daripada kepercayaan atau agama lain tetapi saya rasa ia tidak perlu kerana apa yang saya nyatakan adalah justifikasi yang cukup untuk mengatakan bahawa ia diterima secara umum bahawa perjudian adalah maksiat.’

Jadi, adalah salah untuk menganggap bahawa permainan judi itu hak orang bukan Islam.

Bukan hak orang Sikh.

Itu saya boleh bagi jaminan.

Dan adalah juga salah untuk menganggap bahawa pengharaman perjudian satu cubaan memperkasakan undang-undang Islam kerana setiap agama sebenarnya mengutuk perjudian.

Saya nak tambah sikit lagi.

Menurut seksyen 3 Common Gaming Houses Act 1953 dan seksyen 3 Betting Act 1953, pusat perjudian dan pusat pertaruhan adalah gangguan umum yang bertentangan dengan undang-undang (public nuisance contrary to law).

Juga, menurut seksyen 3 Lotteries Act 1952:

  • ‘[A]ny lottery promoted or conducted without a permit granted by the Minister of Finance under this Act or otherwise than in accordance with this Act shall be unlawful.

‘Sebarang loteri yang dipromosikan atau dijalankan tanpa permit yang diberikan oleh Menteri Kewangan di bawah Akta ini atau selain daripada menurut Akta ini adalah menyalahi undang-undang.

Pendek kata, adalah satu bentuk undang-undang umum (general law) bahawa judi itu haram di sisi undang-undang Malaysia, manakala kebenaran untuk menjalankan perniagaan judi dan bermain judi adalah satu bentuk pengecualian (exception).

Dan hak untuk berjudi tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti kebebasan bersuara, kebebasan diri, kebebasan berpersatuan dan sebagainya.

Berdasarkan pada maklumat di atas, boleh disimpulkan bahawa hak untuk berjudi adalah ciptaan undang-undang, dan bukan hak asasi manusia.

Kalau hak itu adalah ciptaan undang-undang, maka hak tersebut boleh dibatalkan dan boleh diubah mengikut keadaan dari masa ke masa.

Secara kesimpulannya, kalau kamu adalah operator kedai nombor ekor atau kaki judi di Kedah, dan kamu terkilan dengan tindakan MB Kedah, sila failkan permohonan semakan kehakiman.

Tapi jangan sesekali kata, hak untuk berjudi itu adalah hak orang bukan Islam.

Hak untuk berjudi adalah ciptaan undang-undang.

Tiada agama yang menggalakkan perjudian.

Jika ada, maka kamu perlu cari agama lain.

P.S. Dalam filem Hindustan (Uttar Dakshin, iaitu Utara Selatan), Jackie Shroff berdialog:

“jue mein juari haarta hain, patta nahin”, maksudnya walaupun daun terup diperlukan dalam perjudian tetapi bukan daun terup yang kalah.

Isu di sini bukan sama ada kita boleh bermain atau tidak.

Isu di sini adalah sama ada kita perlu bermain.

Kerana kita mungkin tidak dapat menerima kekalahan.

Daun terup tak rugi apa pun.

DR. SHAMSHER SINGH THIND

Kolumnis