Sikap Abang Long Ganggu Kerjasama Tiga Parti

Sikap Abang Long Ganggu Kerjasama Tiga Parti

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Rabu mendedahkan sikap ‘abang long’ yang ditonjolkan oleh pemimpin tertinggi parti menyebabkan tiga parti iaitu PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, ia berdasarkan penglibatan beliau secara langsung di dalam siri rundingan bagi membentuk kerjasama tiga parti tersebut dalam PRN Melaka.

“Perbincangan hampir berjaya menemui penyelesaian apabila tiga parti bertemu selepas mendapat mandat ketua parti masing-masing dalam agihan kerusi.”

Pada 27 Oktober, keputusan agihan kerusi ialah UMNO (lima), PAS (dua), Bersatu (dua) dan kali kedua pada 29 Oktober, UMNO (enam), Pas (dua), Bersatu (tiga), di mana beberapa persetujuan telah dicapai dan cadangan ‘pre-election agreement’ dirangka untuk kerjasama dalam PRN Melaka.

“Namun langit tidak selalu cerah, pada 3 November lalu, pasukan perunding kecewa selepas dimaklumkan seorang ketua parti akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahukan tiga penjuru.

“Semua kecewa, tapi apa nak buat, sikap abang long inilah yang mengganggu kerjasama bersama,” katanya ketika sesi penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu yang dibangkitkan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang disifatkan hampir berpecah susulan keputusan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, rakyat akan kembali sengsara di bawah tampuk pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara selama 22 bulan sekiranya PAS, UMNO dan Bersatu gagal merendahkan ego untuk mewujudkan satu kesepakatan.

“Jika tiga parti ini gagal merendahkan egonya, kita akan balik kepada asal iaitu menyaksikan kembali kesengsaraan 22 bulan kerajaan ‘scammer’.”

“Adakah kita lupa tempoh 22 bulan dikelirukan oleh mereka yang menjanjikan ‘bulan dan bintang’ dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mereka menang, walaupun akhirnya mereka mengaku gagal melaksanakan janji pilihan raya,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, kedudukan Melayu Islam turut terancam sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan PH sebelum ini.

“Institusi Islam dan Melayu turut digegarkan dan terancam dengan pelbagai ‘virus’ yang dicampakkan mereka dahulu.

“Kini ancaman mereka akan kembali jika kita gagal berpakat serta tidak duduk untuk berbincang.”

Adakah kita lupa selama tempoh 22 bulan itu ada pegawai kerajaan, pegawai tadbir diplomatik telah dipinggirkan dalam kementerian tertentu sehingga menyebabkan krisis pentadbiran serius di peringkat Persekutuan,” katanya.

Menurut beliau, semua hiruk pikuk yang berlaku di peringkat Persekutuan disebabkan cita-cita individu tertentu sejak akhir 1990-an yang mengheret rakyat untuk menjayakan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri dengan menjalinkan kesepakatan dengan sesiapa sahaja demi mencapai hasrat peribadi.

“Saya percaya semua kita yang ada dalam Dewan ini mempunyai hasrat yang sama dengan rakyat Terengganu dan rakyat Melayu-Islam yang ada dalam negara kita untuk melihat kerjasama dan persefahaman memasuki fasa yang lebih baik.

“Kitalah yang perlu memastikan ketua-ketua kita di peringkat Pusat, tidak menjadi orang yang turut sama menaikkan mereka itu, walau apa jua janji individu berkenaan kepada ketua kita,” katanya.

Politik