Pertamanya, jika masuk Umno, orang ramai dengan sendirinya, tanpa dipaksa, akan mengatakan ia jalan mudah untuk mendapat kesenangan hidup.
Tindakan mereka tidak dihormati kerana sudah tersedia skripnya dan kita juga tahu bagaimana akan pengakhirannya.
Orang-orang ini dilihat sebagai orang yang tidak tahan tekanan.
Jika mereka pegawai, kita faham yang mereka mahukan jawatan yang lebih tinggi kerana Umno masih mempunyai kuasa untuk itu.
Pun begitu, bukan mudah mahu mendapatkan habuan kerana sudah ramai yang menunggu.
‘Please stay in the Q’, tak boleh potong.
Keduanya, mereka yang masuk Umno, tidak mempunyai cita-cita bagi rakyat.
Kalau adapun, ia sekadarnya sahaja atau lakonan bagi menunjukkan mereka cakna rakyat.
Rakyat akan diugut bagi memenangkan mereka.
Rakyat dijadikan hamba bagi menjadikan rakyat sentiasa berharap kepada mereka.
Rakyat yang ditolong Umno ialah rakyat yang menyokong mereka sahaja.
Yang lain, bukan penyokong, didendami mereka. Sudah puluhan tahun ia berlaku.
Malah bekas MB Terengganu juga mengakui yang adil ialah pengundi beri undi, Umno bagi bantuan. Kalau tak undi, tak bagi.
Ketiganya, mereka yang menyertai Umno, adalah terdiri daripada mereka yang bermasalah semenjak dahulu lagi.
Orang-orang ini, tidak akan selesa duduk di bawah peraturan Islam dan akan sentiasa merasa bersalah, lalu lebih baik mereka keluar.
Manakala di dalam Umno motto mereka, ‘let’s go to the party baby…’ asal boleh, semua mereka sebat.
Maka mudahlah mahu berbuat sesuka hati.
Atau juga mereka merasakan merekalah yang paling betul, orang lain semua salah. Sebab itu mereka keluar.
Keempatnya, mereka yang berpindah kepada Umno ini, tidak mahu menggunakan kecerdikan yang Allah berikan.
Mereka menyerang semula PAS dengan fitnah dan penipuan.
Amat biasa mereka sangat terdesak, menjadi lebih Umno daripada Umno.
Konon mahu menunjukkan kecerdasan mereka.
Di hadapan penyokong Umno yang jahil, mungkin mereka boleh menipu, tetapi ulamak yang sebenar tahu apa yang dia buat.
Dalam Umno pertandingan sengit sesama mereka ialah tunjuk siapa yang lebih bodoh.
Berlainan dengan jika menyertai PAS.
Tiada wang disediakan untuk kemasukan ke dalam PAS.
Datang tak dijemput, pergi tidak dihalau.
Malah, harta benda kamu pula yang habis bersedekah kepada PAS.
Semua cita-cita peribadi, mesti diketepikan.
Yang ada hanyalah cita-cita untuk membantu agama Allah dengan menurut jalan yang Allah kehendaki.
Jika ada masalah lama, bertaubatlah, semoga Allah menerima.
Tidak akan diterima masuk dengan membawa perangai lama yang jahat itu.
Tinggalkan di luar. Jika kamu cerdik dan berpelajaran tinggi, kamu insyaallah akan diangkat menjadi pimpinan, sesuai dengan kepakaran kamu.
Mungkin sehingga boleh menjadi calon pilihanraya kerana bagi ahli PAS, jawatan itu adalah bebanan di akhirat nanti.
Islam mengangkat kelimuan seseorang walaupun dahulunya mereka bukan Islam, seperti Saidina Umar.
Gunakanlah ilmu itu bagi membantu agama Allah.
Dalam Umno, maaf, jangan kata nak dapatkan jawatan politik dengan cerdik kamu dengan mudah.
Apalagi cerdik dalam bab agama.
Lihat apa yang terjadi kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Nakhaei Ahmad, Ustaz Ghazali Ahmad, melukut di tepi gantang sahaja.
Bagi Umno, siapa musuh mereka dahulu, jika masuk dalam Umno, mereka ini pasti akan diragui sehingga mati.
Kecuali musuh yang berbalah sesama mereka seperti Zahid Hamidi dan bekas pimpinan Semangat 46.
Ini semua bukan asal PAS, tetapi aliran sama sekular, jadi mereka terima semula sehingga menjadi pimpinan tertinggi.
Jadi jutaan tahniah kepada Datuk Dr. Yahya Ibrahim, bekas Naib Canselor Unisza dan juga ahli Umno, Datuk Hamzah Ngah, mantan Pengurus Besar Ketengah dan juga Encik Azih Yusof Timbalan Ketua Pengarah (ICT) MAMPU yang menyertai PAS.
Kami mengalu-alukan kehadiran anda ke dalam PAS.
Atas kecerdikan dan pengalaman semua, semoga Allah kuatkan lagi PAS untuk memartabatkan Islam.
Mereka semua ini adalah cerdik pandai yang beralih arah dari kegelapan memfitnah, menipu, mengugut, merebut dunia kepada cahaya kebenaran yang memandu hidup.
Mohd Nasir Abdullah
