Apabila Profesor Dikatakan Berpolitik Lebih UMNO Dari UMNO

Apabila Profesor Dikatakan Berpolitik Lebih UMNO Dari UMNO

Semalam saya berkesempatan menghadiri majlis Amanat Tahun Baharu 2025, Menteri Pendidikan Tinggi, UTM, Skudai, Johor.

Ucapan YBM Menteri, memang padat, tepat dan memenuhi kehendak kami selaku marhaen akademik dan menyahut denyut nadi pensyarah Universiti selama ini. Tahniah.

Cuma, ralat, ketika forum berlangsung, sebelum majlis amanat bermula. Forum begitu hambar, profesor yang menjadi moderator dan ahli panel, berhujah seperti membaca teks.

Panel dari kalangan pelajar yang tidak ada sarjana dan PhD, jauh lebih baik, mengaitkan serba sedikit antara hubungan universiti dan industri.

Kemudian mengajak kita berfikir memahami fenomena alam, membawa kita ingat kepada Sang Pencipta. Tahniah adik!

Ini bukan saya sahaja kata, ahli LPU itu pun bercakap perkara sama, selain sembang-sembang sesama pensyarah ketika forum berlangsung.

Panel lain, yang bergelar profesor, bercakap seperti membaca, menghafal, tidak nampak bercakap seperti orang bergelar profesor.

Modal bercakap tidak berkembang, terhad antara hubungan universiti – industri, itu sahaja. Tidak mengajak kita berfikir lebih sedikit dari itu seperti pelajar tersebut.

Aduhai…nak buat macam mana, itulah yang terbaik yang dipilih dalam kalangan profesor untuk bercakap.

Maaflah, saya hanya menegur, saya tak kata saya ni baik.

Panel daripada industri saya tidak mahu komen, bercakap pasal industri sahaja. Itupun panel daripada europace berkhidmat dengan syarikat Turkey.

Sudah tanduskah panel industri tempatan? Nak buat macam mana, itu yang dipilih UTM dalam kalangan yang terbaik.

Selepas majlis usai, berkesempatan bersembang dengan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang kebetulan ada di situ.

Dia mengeluh, menceritakan pengalamannya, menjadi ahli LPU. Katanya, politik di Universiti Awam ini, dalam kalangan mereka yang menjadi pensyarah, bergelar profesor, lebih teruk daripada politik UMNO. Malah lebih UMNO dari UMNO.

Saya tidak pasti kenapa dia rujuk kepada parti UMNO, bukan parti lain.

Tak mengapalah. Katanya, kroni, jatuh-menjatuh, fitnah-menfitnah, cucuk-menyucuk, bodek-membodek dan macam-macam perlakuan hodoh lagi, semuanya gara-gara untuk merebut kuasa dan mendapat kuasa serta mengekalkan kuasa di universiti (UA).

Selaku ahli akademik, yang berkhidmat di UA, saya tidak terkejut pun, sebab saya tahu apa yang sedang berlaku di UA.

Cuma, saya merasa cukup malu, kenapa UA, sebuah institusi ilmu, Menara gading, tempat anak-anak kita meletakkan kepercayaan penuh terhadap institusi ilmu ini boleh jadi sebegitu?

Inikah nilai ilmu yang menjadi tonggak kepada Pembangunan manusia yang dipraktikkan oleh para ahli akademik? Saya tidak kata semua, tetapi rata-ratanya sebegitu.

Jika kita pergi ke pejabat Kementerian Pendidikan Tinggi, penuh dengan fail berkaitan fitnah-menfitnah, bodek-membodek, jatuh-menjatuh dan sebagainya, percaturan untuk merebut kuasa dan mendapat kuasa serta mengekalkan kuasa, apabila mereka tahu ada kekosongan atau tempoh Naib Canselor (NC) dan Timbalan Naib Canselor (TNC) sudah hampir tamat. Maka, bermula episode percaturan tersebut, seperti yang diceritakan.

Matlamat menghalalkan cara, puak-puak ini akan melakukan apa sahaja, tidak kenal dosa pahala. Ketika berkuasa, mereka akan bina kroni, puak-puak yang boleh menyokongnya untuk kekal berkuasa.

Kawan jadi lawan, lawan jadi kawan. Pelbagai cara akan dilakukan untuk merebut kuasa dan mendapatkan kuasa serta mengekalkan kuasa.

Paling hina, bagi mereka yang mahu mengekalkan kuasa sebagai NC dan TNC, buat apa sahaja, mereka akan membodek, sebodek-bodeknya.

Termasuk menggunakan kabel pembesar sana, pembesar sini, payung kuning dan sebagainya. Kenal Menteri itu, kenal Menteri ini.

Ke sana ke mari, kerjanya tidak lain, bodek. Segala kemudahan universiti akan digunakan.

Dalam kampus, surat layang usahlah cerita, bermaharajalela. Tikam menikam, fitnah menikam, termasuk mereka yang bergelar jamaah centric.

Terfikir juga saya, apa matlamat hidup kita sebenar? Kita tak takut matikah?

Takkan tak takut langsung syurga neraka? Tetapi itulah yang berlaku.

Justeru, saya merayu kepada semua ahli akademik, jujurlah pada ilmu, jangan kotori Menara ilmu ini atau Menara gading ini, yang menjadi kepercayaan Masyarakat dengan tangan-tangan kotor dan tangan-tangan jahat kamu. Ingatlah kehidupan di dunia ini hanya sementara.

Akhirat yang kekal abadi. Jujurlah pada ilmu. Malu kita pada anak-anak.

Malu kita pada orang bukan Islam. Malu kita kepada Universiti Swasta, yang sebahagiannya diterajui bukan Islam.

Mereka pun tidak berpolitik sehodoh kita, meskipun mereka tidak Islam.

Dr. Ridhuan Tee Abdullah

Kolumnis