Kisah Perang Musuh Bisik di Kedah, terjadi hasil dari pengkhianatan dalaman orang istana yang berdendam kerana pertikaian kedudukan yang memberikan idea kepada Siam untuk datang ke Kedah sebagai meminta bantuan konon kerana mahu mendapatkan bekalan berperang dengan Burma.
Apabila pintu kota Kuala Kedah dibuka, musuh menunggu waktu yang sesuai, menyerang dan membunuh rakyat Kedah yang tidak bersedia kerana sangkaan baik terhadap Siam yang disangka dalam kesusahan.
Namun ia tidak semudah yang dijangka, tentangan mereka juga melukakan Siam.
Kedah akhirnya dirampas Siam, Sultan Kedah berundur ke Perai dan ia mengambil masa puluhan tahun dan ribuan nyawa bagi Sultan Kedah mendapatkan semula negeri.
Hanya yang cekal dengan semangat jihad untuk berjuang membebaskan bumi Kedah sahaja yang tinggal berdiri melawan, termasuk para ulamak dari kawasan lain.
Pengkhianatan itu memberikan harga yang sangat mahal dengan nyawa manusia tidak berdosa menjadi galang gantinya malah ribuan juga dibawa ke Siam dan dimurtadkan.
Sementara pengkhianat kemudiannya dibunuh juga oleh Siam kerana jika pengkhianat sanggup berkhianat dengan sesama mereka yang sama bangsa dan agama, apatah lagi Siam yang nyata berlainan agama.
Maka hanyalah kebodohan menjadi tugu peringatan kejahatan si pengkhianat terhadap bangsa dan agama mereka.
Tidak akan sempat mereka untuk berbelanja dengan semua harta haram yang mereka terima, upah kepada berkhianat itu.
Akhirnya ia samada dibelanja habis oleh warisnya atau lebih malang, ia dirampas kembali.
Namun dosa tetap dikenakan atas pengkhianat.
Begitu juga halnya dahulu dengan Melaka.
Ia runtuh kerana khianat dari pedagang asing yang berpakat dengan Portugis bagi menawan Melaka.
Bekalan makanan disekat dan rakyat Melaka berperang dalam keadaan kurang makanan.
Bangsa asing datang dan membuat onar di tanahair kita sedang kita meraikan mereka.
Melihat kepada isu ketirisan dalam kemasukan warga asing sehingga melibatkan penyertaan secara haram oleh pegawai tinggi tentera, kita sebagai rakyat merasa kecewa dan juga cemas kerana sistem keselamatan sempadan kita, telah dibocori oleh warga asing, hasil bantuan pegawai yang diamanahkan menjaganya oleh negara.
Sejarah yang lalu telah menunjukkan kejahatan manusia seperti ini sebenarnya wujud dan sentiasa aktif dari zaman ke zaman.
Hanyalah waktu dan pemegang watak sahaja yang berbeza.
Kita sebagai tuan rumah, sangat banyak berkompromi dengan bangsa-bangsa yang menumpang ini.
Begitulah tingginya hormat kita terhadap tetamu.
Akan tetapi apabila mengkaji semula sejarah negara kita, banyak bukti tentang sikap kurang ajar bangsa lain terhadap kebaikan yang telah kita berikan.
Tanah leluhur kita dirampas menggunakan kuasa British, hasil bumi kita dikaut dengan cara yang licik sehingga ada empunya harta dibunuh.
Negeri-Negeri Selat diperlakukan seperti milik mereka sedangkan ia dirampas British atas nama perjanjian yang menipu.
Kedudukan penduduk asal dipecah-pecahkan kerana mahu melemahkan pribumi.
Pekerjaan berkemahiran tinggi tidak diberikan kepada Melayu Islam kerana tidak mahu anak watan maju.
Melayu Islam diarahkan menanam padi, berkebun dan juga menjadi nelayan sebagai jaminan makanan untuk British dan pendatang asing mencukupi.
Malah akan dikenakan tindakan jika berdegil.
Negara kita mungkin akan menghadapi sekali lagi situasi begini jika kita terus leka dan tidak menjadikan sejarah sebagai panduan.
Lihatlah, tiada kedengaran bantahan kaum mereka atas isu kemasukan haram pendatang asing ke negara kita.
Malah pernah menteri yang bersilat, marahkan pegawai yang menahan pelancong asing.
Adakah sememangnya mereka mahukan ini terjadi sedangkan mereka mengaku sebagai warga Malaysia?
Tiadakah rasa sedikit semangat patriotik bagi mempertahankan negara ini dari pencerobohan?
Khianat mereka terhadap negara yang kita cintai ini tidak akan dapat kita maafkan
Mohd Nasir Abdullah
