Projek Gentian Optik YTL: Satu Lagi Keputusan Luar Tabie

Projek Gentian Optik YTL: Satu Lagi Keputusan Luar Tabie

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa YTL Communications akan melaksanakan pemasangan gentian optik sepanjang 1,600 kilometer di sepanjang laluan rel seluruh negara.

Projek ini, menurut laporan, merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional memperkukuh infrastruktur digital dan menyokong pelaksanaan ekonomi digital negara.

Namun pengumuman ini bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan pelbagai persoalan kritikal yang tidak boleh dipandang ringan.

Di kala rakyat menuntut ketelusan dan kecekapan dalam perbelanjaan awam, tindakan ini tampak seolah-olah menyingkap wajah sebenar budaya ‘patronage’ yang terus hidup dalam pentadbiran Malaysia moden.

YTL bukan nama asing. Ia syarikat yang pernah diberikan kepercayaan dalam projek 1BestariNet, yang kemudiannya dikritik hebat oleh Jabatan Audit Negara kerana kelemahan dalam pelaksanaan, liputan yang lemah, serta kos yang tidak sepadan dengan hasil.

Namun, hari ini kerajaan sekali lagi memilih YTL – tanpa tender terbuka, tanpa perbandingan awam, dan tanpa justifikasi teknikal yang meyakinkan.

Mengapa YTL?

Sangkaan yang paling popular di kalangan pemerhati ialah wujudnya balasan politik tidak rasmi – suatu bentuk “soft reward” kepada entiti yang punya hubungan istimewa dengan elit kuasa.

YTL bukan sahaja berpengaruh dari sudut korporat, malah diketahui mempunyai rangkaian hubungan yang kukuh dengan pelbagai lapisan pemerintahan sejak era Barisan Nasional sehinggalah kerajaan perpaduan hari ini.

Lebih membimbangkan, terdapat kemungkinan bahawa projek ini akan disub-kontrak kepada pihak lain, menjadikan YTL sekadar “kepala kontrak” yang mendapat untung tanpa melaksanakan kerja secara langsung.

Jika ini berlaku, siapa sebenarnya pemain utama di belakang tabir?

Dan mengapa kerajaan perlu berselindung di sebalik nama YTL?

Kesan kepada Rakyat dan Negara

Memberi projek sebegini besar kepada satu entiti, tanpa ketelusan proses perolehan, membuka ruang kepada monopoli, ketirisan, dan kebergantungan jangka panjang kepada satu syarikat sahaja.

Ia akan menutup ruang kepada syarikat-syarikat tempatan lain, khususnya pemain industri Bumiputera yang mungkin lebih cekap, murah dan inovatif.

Lebih parah, rakyat akhirnya akan menanggung beban kos tinggi sekiranya projek ini gagal atau tidak diselenggara dengan baik – seperti yang berlaku dalam kes 1BestariNet dahulu.

Reformasi atau Retorik?

Kerajaan hari ini sering melaungkan prinsip reformasi, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Namun dalam isu pemilihan YTL ini, semua prinsip itu seolah-olah dibakul sampahkan.

Retorik tidak mencukupi; yang diperlukan adalah komitmen nyata untuk memperbaiki tadbir urus, membuka ruang kepada persaingan sihat dan memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan penuh integriti.

YTL dan 1BestariNet: Sejarah Tidak Boleh Diulang

YTL Communications bukan pemain baharu dalam sektor digital awam.

Syarikat ini pernah dianugerahkan kontrak besar bernilai RM4.077 bilion di bawah projek 1BestariNet – satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membekalkan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 10,000 sekolah.

Namun berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2013 dan 2015, antara dapatan utama ialah:

• 89.1% sekolah tidak mendapat liputan 4G seperti dijanjikan

• Sistem Frog VLE (platform pembelajaran) tidak digunakan secara menyeluruh, malah dianggap tidak mesra pengguna oleh guru dan pelajar

• RM663 juta telah dibelanjakan antara 2011–2013, tetapi impaknya amat minimum

• Lebih menyedihkan, peralatan dan prasarana yang dipasang akhirnya terbengkalai dan tidak digunakan selepas projek tamat

Persoalannya: Mengapa kerajaan masih memilih entiti yang gagal menyampaikan hasil dalam projek pendidikan digital paling besar negara?

Tender Tertutup dan Risiko Monopoli Infrastruktur

Menurut laporan Malay Mail (18 April 2025), projek ini dianugerahkan tanpa proses tender terbuka yang menyeluruh.

Ini mencetuskan persoalan berat dari segi nilai wang rakyat (value for money) serta risiko penguasaan infrastruktur kritikal oleh satu syarikat swasta.

Sektor gentian optik adalah komponen tulang belakang untuk 5G, sistem keselamatan rel, serta capaian internet luar bandar. Memberikannya kepada satu entiti bermakna:

• YTL boleh mengawal akses dan kadar sewaan kepada pihak ketiga

• Wujud risiko “lock-in effect”, di mana kerajaan terpaksa bergantung kepada YTL untuk penyelenggaraan dan naik taraf

• Ini bertentangan dengan prinsip persaingan terbuka yang menjadi asas Dasar Digital Negara dan Pelan MyDigital 2021

Mengapa tidak dibuka kepada pemain seperti TM, TIME dotCom, CelcomDigi atau penyedia Bumiputera lain yang mampu bersaing?

Agenda Di Sebalik Tabir?

Berdasarkan pemerhatian dan sejarah perolehan, terdapat persoalan penting dalam kalangan pengamal industri dan penggubal dasar iaitu :

1. Adakah YTL telah melobi lebih awal untuk projek ini melalui cadangan ‘pra-komersial’?

2. Adakah syarikat ini dipilih kerana ia mudah dikawal dan tidak agresif secara politik – berbanding pemain lain yang lebih vokal dan bebas?

3. Adakah wujud kemungkinan projek ini akan disub-kontrak kepada pihak ketiga, termasuk syarikat proksi tertentu yang tidak diumumkan secara rasmi?

4. Adakah YTL digunakan sebagai ‘entiti perantara’ untuk menghalalkan perolehan melalui hubungan strategik dalam kerajaan?

Ini bukan tuduhan sembrono, tetapi berdasarkan pola yang pernah berlaku sebelum ini – seperti dalam kes konsesi air, janakuasa bebas (IPP), dan perolehan sistem pendidikan.

Impak Kepada Dasar dan Industri Tempatan

Langkah ini turut mencemarkan komitmen kerajaan kepada prinsip:

• Penglibatan syarikat Bumiputera dalam sektor teknologi tinggi

• Peningkatan kapasiti vendor tempatan dalam teknologi infrastruktur digital

• Dan paling penting, keyakinan rakyat terhadap keikhlasan agenda reformasi

Adakah tiada satu pun syarikat tempatan lain yang layak?

Atau sememangnya projek ini telah ditentukan lebih awal sebelum proses semakan dijalankan?

Rakyat Mahu Jawapan, Bukan Janji

Kerajaan mesti sedar bahawa rakyat kini lebih celik maklumat dan menilai berdasarkan data. Soalan-soalan kritikal perlu dijawab:

• Berapa nilai sebenar projek ini?

• Siapa panel yang meluluskan pemilihan YTL?

• Kenapa tiada tender terbuka?

• Apakah hasil yang dijangka dan bagaimana ia diukur?

• Siapa akan menyelia dan mengaudit projek ini?

Kerajaan tidak boleh sekadar menjual janji “peralihan digital”, sambil mengulangi kesilapan yang telah merugikan berbilion ringgit sebelum ini. Jika kerajaan benar-benar serius mahu membina masa depan digital yang telus dan mampan, permulaan paling penting ialah:

Jangan pilih syarikat yang telah terbukti gagal.

Fadhli Shaari

Ekonomi