Maaf. Tapi saya tak boleh nak faham idea disebalik cadangan pelantikan seorang non muslim sebagai Pengurus Besar Movenpick – hotel patuh syariah milik Tabung Haji.
Patuh syariah bukan sekadar pekerja kena pakai tudung atau tak boleh hidang daging babi.
Patuh syariah juga melibatkan sistem pentadbiran, kewangan dan muamalah.
Sistem akaun yang patuh syariah mempunyai prasyarat ketat bagi mengelakkan sebarang unsur riba dan syubhah dalam perolehan hotel.
Itu belum lagi proses pengasingan kewangan apabila berlakunya bayaran yang tidak patuh syariah.
Pentadbiran yang syari’i bukan sekadar tak boleh pakai seluar pendek.
Tetapi juga melibatkan tapisan bagi setiap kelulusan acara/event yang menggunakan premis hotel agar tidak terkeluar daripada garis syariat.
Dan garis syariat ini pula sangat luas.
Apabila kita bercakap tentang muamalah dan fiqh, seseorang Pengurus Besar mesti mempunyai kemampuan minimum sekurang-kurangnya dalam memahami impak setiap pandangan mazhab yang boleh diaplikasikan apabila berlakunya situasi luar biasa dalam pengoperasian hotel.
Saya yang muslim ni pun tak reti.
Jadi apa justifikasi sehinggakan seorang Non Muslim boleh dicadang sebagai orang No 1 dalam sebuah hotel milik TH yang antara fungsi tahunannya adalah sebagai kompleks haji dan stesen berlepas jemaah ke Makkah?
Sudahlah begitu, semua 4 nama yang disenarai pendek juga non muslim.
Apakah tidak ada langsung pengurusan kanan sedia ada yang boleh ditimbang bagi menggantikan tapak ketua mereka?
Internal promotion (kenaikan pangkat dalaman) adalah langkah sepatutnya bagi menaikkan motivasi kakitangan.
Kalau kakitangan rasa tersisih, letak Raja Majapahit jadi GM pun tak ada guna.
A leader is only as strong as his team.
Begitu juga, nak buat apa kita ada UiTM yang setiap tahun melahirkan ribuan anak muda dalam bidang hospitaliti kalau seorang pun tak layak ditimbang sebagai pentadbir hotel milik penuh umat Islam ini?
Kita tiada masalah dengan penglibatan non muslim dalam hotel milik umat Islam.
Malah saya percaya calon yang dicadangkan itu sangat layak untuk memimpin mana-mana hotel konvensional di Malaysia.
Tetapi untuk hotel patuh syariah milik umat Islam, biarlah orang no 1 itu datang daripada pakar muslim yang mempunyai ilmu agama yang luas.
Kerana orang inilah yang akhirnya akan menjadi kata pemutus dalam setiap hal operasi syarikat.
Belajarlah daripada Duyong Marina Resort Terengganu (DMR) – sebuah hotel patuh syariah milik kerajaan negeri.
Asalnya sebuah hotel bermasalah tetapi akhirnya berjaya mencatat perolehan hampir RM1 juta setiap bulan walaupun dalam keadaan wabak COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.
Kerajaan Terengganu pun janganlah kedekut sangat.
Pinjamkanlah Us Faizul Abas Pengurus Besar DMR ke Tabung Haji.
Tunjukkan bagaimana Pak Lebai pun boleh mengalahkan orang putih dalam pengurusan hospitaliti.
Kesianlah sikit kat TH ni!
Abdul Rahim Hilmi Zakariya